CSGO

Tiada Kejohanan Major Bagi CS:GO Akan Dianjurkan Sehingga Sekurang-kurangnya Akhir Tahun 2021

4 bulan lalu

Tiada Kejohanan Major Bagi CS:GO Akan Dianjurkan Sehingga Sekurang-kurangnya Akhir Tahun 2021

Para peminat permainan Counter-Strike: Global Offensive nampaknya perlu menunggu dengan lebih lama lagi sebelum tibanya kejohanan major seterusnya apabila Valve dilaporkan telah membatalkan perancangan mereka untuk menganjurkannya pada musim bunga 2021 depan.

Selepas kejohanan Rio Major dibatalkan penganjurannya pada bulan September lalu kerana penularan wabak COVID-19, kejohanan major seterusnya di dalam jadual kompetitif CS:GO adalah pada bulan Mei 2021. Dengan wabak COVID-19 masih lagi menghantui dunia, Valve dilihat tidak yakin mereka mampu melaksanakan kejohanan tersebut dengan jayanya.

Menerusi email oleh Valve kepada para penganjur kejohanan yang berjaya diraih oeh laman web HLTV.org, Valve mendedahkan bahawa mereka tidak akan menjadualkan penganjuran kejohanan major sehingga sekurang-kurangnya kejohanan LAN Regional Major Ranking (RMR) mampu dilaksanakan dengan selamat terlebih dahulu.

Menurut email tersebut, Valve mensasarkan bahawa penganjuran kejohanan major seterusnya adalah pada drkitar 25 Oktober sehingga 7 November 2021, sekitar seminggu lebih awal berbanding jadual kompetitif asal mereka dahulu iaitu 1 sehingga 14 November 2021. Valve mendedahkan mereka mempunyai rakan kerjasama di Eropah yang bersedia untuk menganjurkannya.

Sekiranya perancangan ini menjadi kenyataan, ini menjadikan kejohanan major seterusnya hanya tiba sekitar dua tahun selepas penganjuran sebelum ini iaitu kejohanan StarLadder Berlin Major 2019 pada Ogos 2019 lalu.

Sumber: HLTV