Dota 2

Sistem Seakan Overwatch Pada CS:GO Akan Turut Diperkenalkan Bagi Permainan Dota 2

6 bulan lalu

Sistem Seakan Overwatch Pada CS:GO Akan Turut Diperkenalkan Bagi Permainan Dota 2

Peperangan menentang pemain toksik, smurf dan aktiviti boosting bagai tiada penghujung bagi permainan dalam talian.

Ini bagaimanapun tidak membuatkan para pembangun Dota 2 berputus asa dan mereka kini telah hadir dengan beberapa usaha bagi mengatasi masalah tersebut. Pertama sekali, mereka mengumumkan bahawa mereka telah menaiktaraf fungsi pengesanan akaun smurf dan telah memisahkan akaun ini daripada dipadankan dengan pemain baharu dan normal.

Akaun smurf kini lebih mudah dipadankan sesama mereka sendiri sekaligus membuatkan pengalaman bermain pemain baru menjadi lebih baik. Akaun-akaun alternatif pemain ini juga akan kini mewarisi nilai mata tingkahlaku akaun utama mereka.

Fungsi pengesanan akaun yang terlibat dengan aktiviti boosting juga telah dinaiktaraf. Sepanjang 30 hari lalu, lebih 14 ribu akaun telah digantung melalui sistem ini.

Akhir sekali, Valve mengesahkan bahawa fungsi seakan sistem Overwatch yang ada pada permainan CS:GO akan turut diperkenalkan bagi permainan Dota 2. Bagi anda yang tidak mengenali sistem ini, Overwatch adalah sistem dimana pemain yang mempunyai nilai kepercayaan tinggi (melalui beberapa keperluan khas) boleh menilai laporan pemain lain dan menjatuhkan hukuman sementara kepada pemain yang dilaporkan.

Melalui sistem ini, pemain boleh menonton perlawanan yang dilaporkan bagi menentukan sama ada laporan tersebut adalah benar dan tepat. Sekiranya ramai penilai mendapati laporan tersebut adalah tepat, maka pemain yang dilaporkan akan dijatuhkan hukuman.

Melalui sistem usaha-sama ini, komuniti boleh saling membantu menjadikan permainan lebih baik dan pemain yang bersifat toksik boleh dihukum dengan lebih tepat dan pantas.