Dota 2

Hero Baharu Dota 2 Akan Tiba Pada Penghujung November Ini

11 bulan lalu

Hero Baharu Dota 2 Akan Tiba Pada Penghujung November Ini

Hero baharu bagi Dota 2 acap kali diumumkan pada penganjuran kejohanan The International dan tiba sekitar bulan November tahun tersebut.

Dengan tiada penganjuran The International pada tahun ini, Valve telah kini mengesahkan bahawa mereka kekal dengan perancangan serupa iaitu bakal memperkenalkan hero baharu pada penghujung November ini.

Namun begitu tiada sebarang maklumat mahupun acahan didedahkan mengenai hero baharu ini. Sebelum ini, terdapat ura-ura bahawa Dota 2 bakal hadir dengan hero dari permainan Heroes of Newerth iaitu Puppet Master. Namun itu bukanlah satu-satunya hero yang mampu dilancarkan oleh Valve memandangkan terdapat pelbagai hero dari peribudaya Dota 2 yang belum boleh dimainkan seperti Sorla Khan pada permainan Artifact dan Aghnim yang hadir pada mod permainan Aghnim’s Labyrinth tempoh hari.

Pihak pembangun juga mengharapkan untuk melancarkan hero baharu dengan lebih kerap pada tahun hadapan dengan hero seterusnya pada suku pertama 2021. Mereka juga mungkin merubah corak pelaksanaan kemaskini dengan tidak lagi memfokuskan kadungan baharu pada penganjuran The International, namun dengan lebih tersebar sepanjang tahun.

Ini adalah bagi membolehkan para pemain lebih menerima kandungan baharu dengan lebih kerap dan sekaligus membolehkan pemain kekal tertarik dengan permainan tersebut.