Wild Rift

Beta Terbuka Bagi Wild Rift Akan Bermula Pada 27 Oktober Ini Di Malaysia

7 bulan lalu

Beta Terbuka Bagi Wild Rift Akan Bermula Pada 27 Oktober Ini Di Malaysia

Riot Games hari ini mengumumkan bahawa mereka telah bersedia untuk memulakan fasa ujian beta terbuka bagi permainan League of Legends: Wild Rift di beberapa negara terpilih bermula pada 27 Oktober depan.

Negara yang bakal terlibat di dalam beta terbuka ini adalah Indonesia, Jepun, Malaysia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand, Brunei, Kemboja, Laos dan Myanmar. Para penduduk di negara-negara ini akan boleh mengakses Wild Rift secara penuh tanpa perlu melalui sebarang proses pendaftaran khas.

Paparan dalam permainan Wild Rift

Pada ketika ini, Wild Rift sedang diuji secara tertutup di beberapa negara iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Korea Selatan, Thailand dan Jepun melibatkan platform Android dan sebilangan kecil peranti iOS.

Apabila fasa beta terbuka bermula kelak, Wild Rift akan turut menerima kandungan baharu seperti tibanya Lee Sin. Riot Games juga bakal menguji beberapa champion secara terhad untuk beberapa hari pada Oktober depan iaitu Kai’sa, Evelynn, Akali, Darius, Draven, dan champion terbaru League of Legends iaitu Seraphine.

Riot juga merancang untuk hadir dengan kandungan tempatan setiap hari sepanjang beta terbuka seperti sorotan pemain dan komuniti, panduan bagi mempersiapkan pemain bertarung di Wild Rift.

Tambahan lagi, Riot mengesahkan bahawa Wild Rift akan turut terlibat dengan acara kembalinya kumpulan muzik maya K/DA. Di akhir Oktober depan, para pemain boleh menggunakan matawang permainan iaitu Wild Cores untuk membeli koleksi kostum K/DA: ALL OUT di dalam permainan.

Akhir sekali, selepas fasa ujian beta terbuka rantau terhad ini, Riot Games merancang untuk meluaskan akses permainan ke rantau lain bermula pada bulan Disember untuk Eropah, Asia Tengah, Afrika Utara, Oceania, Rusia, Taiwan, Turki dan Vietnam. Rantau Amerika pula disasarkan menerima akses pada musim bunga tahun 2021 depan.

Jumpa anda di Wild Rift 27 Oktober ini!