Dota 2

Valve Beri Kemaskini Berkaitan DPC Dan Hak Penyiaran Kejohanan Selepas Komuniti Luah Kerisauan

3 minggu lalu

Valve Beri Kemaskini Berkaitan DPC Dan Hak Penyiaran Kejohanan Selepas Komuniti Luah Kerisauan

Valve akhirnya hadir dengan kemaskini dan kenyataan selepas komuniti meluahkan rasa kecewa terhadap situasi terkini arena kompetitif Dota 2 yang bagaikan terumbang-ambing ketika ini.

Menurut Valve, keadaan semasa pandemik COVID-19 menyebabkan mereka tidak yakin untuk menganjurkan kejohanan DPC. Ini adalah kerana walaupun penganjuran kejohanan tanpa penonton masih tidak mustahil untuk diadakan, penglibatan pasukan antarabangsa adalah lebih sukar untuk dinyatakan. Kawalan pergerakan pelbagai negara akan menyebabkan pasukan sukar untuk terbang ke lokasi penganjuran.

Dengan kejohanan DPC memberikan mata untuk menentukan kelayakan ke kejohanan The International, kegagalan sesebuah pasukan untuk menghadiri kejohanan memberikan kesan yang besar kepada mereka. Pihak penganjur bersama yang terlibat dengan penganjuran kejohanan DPC juga menyatakan ketidakyakinan mereka terhadap kualiti penganjuran seandainya kejohanan diteruskan.

Oleh yang demikian, Valve telah mengambil keputuusan untuk mengosongkan jadual DPC dan memberikan peluang kepada pihak penganjur ketiga mengisi kekosongan yang diwujudkan dengan acara dan liga rantau tersendiri.

Valve mengakui ia adalah kesilapan mereka kerana tidak berkomunikasi secara mendalam dengan komuniti sehingga menyebabkan kerisauan ramai. Valve juga mengakui bahawa penganjuran acara oleh pihak ketiga ini tidak mencukupi kerana masih terdapat rantau yang tidak mempunyai acara dan terabai. Oleh itu, Valve telah pun mendekati pihak penganjur di rantau ini bagi menghulurkan bantuan sama ada dari segi kewangan dan penyiaran agar ia dapat ditonton peminat global.

Tambah Valve lagi, mereka pada ketika ini menjangkakan bahawa penganjuran acara DPC dapat disambung semula pada bulan pertama atau kedua tahun 2021. Mereka juga pada ketika ini melakukan sebarang perancangan berkaitan arena kompetitif Dota 2 dengan andaian bahawa kemungkinan terbaik untuk menganjurkan The International 10 adalah pada bulan Ogos 2021.

Akhir sekali, Valve juga menyentuh pertanyaan komuniti mengenai hak penyiaran kejohanan Dota 2. Pada ketika ini, sesiapa sahaja bebas untuk menyiarkan perlawanan rasmi kejohanan Dota 2 termasuklah penstrim popular sehingga menyebabkan siaran rasmi kejohanan menerima kesan dan menyebabkan pihak penganjur tidak boleh menggunakan hak penyiaran eksklusif dalam menarik penaja kejohanan.

Valve memutuskan bahawa mereka akan mengubah lesen penyiaran sedia ada bagi membolehkan pihak penganjur dan penstrim untuk mudah bekerjasama. Pihak penganjur perlu menyediakan keperluan-bukan-kewangan kepada penstrim seperti grafik penaja dan lengah masa siaran. Penstrim hanya boleh melakukan strim kejohanan sekiranya mereka bersetuju dengan keperluan-keperluan tersebut.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments