Esukan

Edisi Ke-12 IESF Esports World Championship Akan Dianjurkan Di Eilat, Israel

3 minggu lalu

Edisi Ke-12 IESF Esports World Championship Akan Dianjurkan Di Eilat, Israel

Selepas Koahsiung dan Seoul, bandar Eilat di Israel akan menjadi tuan rumah bagi penganjuran kejohanan IESF Esports World Championship.

Perkara tersebut telah diumumkan oleh Persekutuan Esukan Antarabangsa (IESF) bersama-sama dengan Persatuan Esukan Israel (IESA) dan Maccabi World Union pada 3 Julai lepas. Terkesan dengan penularan wabak COVID-19, edisi ke-12 ini akan hadir dengan format kejohanan yang sedikit berbeza berbanding kebiasaannya.

Negara-negara ahli akan menganjurkan pusingan kelayakan tersendiri bermula pada bulan Julai sehingga September ini. Wakil setiap negara kemudiannya akan mara ke pusingan rantau yang diwujudkan bagi menyenarai-pendekan para peserta yang akan hadir ke pusingan akhir yang akan dilangsungkan di Eilat, Israel pada bulan Disember kelak. Namun begitu, pihak penganjur memaklumkan bahawa mereka akan melihat kepada keadaan semasa bagi menentukan tarikh muktamad penganjuran kelak bagi memastikan keselamatan kesemua yang terlibat.

IESF Esports World Championship 2020 akan mempertandingkan tiga judul permainan iaitu Tekken 7, eFootball PES dan DOTA 2.

Tahun lalu, Malaysia tidak menghantar sebarang wakil ke kejohanan ini dengan Persekutuan Esukan Malaysia (MESF) atau ESM memaklumkan bahawa ia adalah kerana mereka memfokuskan kepada kejohanan esukan di Sukan Asia Tenggara Filipina.

Dengan kerajaan Malaysia tidak mengiktiraf dan tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik bersama dengan Israel, atlet esukan tempatan nampaknya sekali lagi terpaksa melupakan hasrat untuk menyertai kejohanan ini bagi tahun kedua berturut-turut.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments