Valorant (Project A)

Pemacu Sistem Anticheat Valorant Didapati Berjalan Sepanjang Masa Walau Tidak Dimainkan

13/04/2020

Pemacu Sistem Anticheat Valorant Didapati Berjalan Sepanjang Masa Walau Tidak Dimainkan

Valorant merupakan permainan terhangat pada ketika ini. Permainan FPS yang dibangunkan oleh Riot Games itu amat popular dengan jumlah tontonan purata sepanjang minggu sebanyak 775,985 orang di laman Twitch. Malah, semenjak ujian beta permainan tersebut dilancarkan pada 8 April lalu, ia berjaya mencapai jumlah tontonan serentak melebihi 1 juta orang setiap hari di laman tersebut.

Semasa memperkenalkan permainan tersebut kepada umum, antara fokus utama permainan tersebut adalah sistem anti penipuan mereka yang menurut mereka adalah unik yang digelar sebagai Vanguard. Valorant juga mempunyai sistem tambahan seperti Fog of War bagi memastikan permainan itu bebas daripada penipu.

Namun begitu, walaupun Riot Games yakin dengan sistem mereka, selepas dua hari ujian beta tertutup Valorant dimulakan, penipu sudah mulai hadir.

Hari ini, pemain mendapati pemacu bagi sistem Vanguard ini dijalankan saat komputer dihidupkan walau permainan Valorant tidak dilancarkan. Pemacu ini didapati berjalan pada tahap kernel, menimbulkan kerisauan kepada keselamatan dan privasi pemain.

Paul Chamberlain, ketua bagi bahagian anti penipuan bagi permainan Valorant di Riot Games tampil memberikan penjelas mengenai kelakuan ini. Menurut beliau, Valorant tidak menganggap sesebuah sistem komputer boleh dipercayai melainkan jika pemacu kernel tersebut dijalankan saat komputer dihidupkan. Ia adalah penting meneurut beliau bagi memastikan sistem anti-penipuan mereka tidak dipintas pengodam.

Foto: Riot Games

Namun begitu, menurut beliau, pemacu tersebut tidak mengimbas apa-apa sehinggalah permainan dilancarkan. Membalas kerisauan terhadap keselamatan peranti pengguna, beliau memaklumkan bahawa pemacu dan sistem yang digunakan telah diuji dan disemak beberapa syarikat pengkaji keselamatan luaran bagi memastikan ia bebas daripada masalah sekuriti.

Paul juga memastikan bahawa tiada sebarang maklumat pengguna dihantar ke pelayan mereka dan pemcau tersebut boleh dinyahpasang bila-bila masa oleh pengguna. Namun begitu, seandainya mereka mahu memainkan permainan Valorant, ia perlu dipasang semula dan komputer perlu dimulakan semula.

Walapun penjelasan ini dilihat telus, masih ramai yang tidak mempercayai sistem ini memandangkan penyalahgunaan sistem dan masalah keselamatan bagi sistem seperti ini bukanlah sesuatu yang baharu. Kerisauan pengguna dalam memberikan kendangan capaian tahap tinggi di komputer mereka adalah berasas memandangkan kes salahguna seperti pelombong crypto pernah terjadi di dalam kes yang serupa.

Sumber : Reddit