Vainglory

SEMC Umum Perancangan Selepas Penutupan Mendadak Pelayan Vainglory Oleh Rogue Games

02/04/2020

SEMC Umum Perancangan Selepas Penutupan Mendadak Pelayan Vainglory Oleh Rogue Games

Pada minggu lalu, para pemain Vainglory mempunyai masalah untuk bermain permainan tersebut selepas klien permainan gagal untuk disambungkan ke pelayan.

Keresahan pemain akhirnya terjawab selepas Superevil Megacorp (SEMC) mengumumkan bahawa masalah tersebut berpunca daripada pengantian pelayan dimana mereka telah mengambilalih semula perkhidmatan Vainglory daripada Rogue Games. SEMC memaklumkan bahawa Rogue Games telah mengambil keputusan untuk menamatkan pelayan Vainglory memaksa mereka memindahkan pemain ke pelayan baharu agar permainan tersebut kekal boleh dimainkan.

Untuk makluman, SEMC telah menyerahkan pembangunan Vainglory kepada Rogue Games pada bulan November 2019 lalu untuk memfokuskan kepada pembangun permainan terbaru mereka iaitu Project Spellfire. Keputusan Rogue Games untuk menutup pelayan yang dilakukan secara mengejut tanpa sebarang pengumuman kepada komuniti ini menyebabkan ramai berasa berang.

Hari ini, SEMC hadir dengan perancangan mengenai masa depan Vainglory. Menurut mereka, fokus kepada Project Spellfire menyebabkan mereka tidak mampu untuk meneruskan sokongan terhadap permainan Vainglory. Oleh yang demikian, mereka telah memilih untuk bergantung kepada komuniti.

Untuk permulaan, Vainglory versi komuniti ini masih lagi boleh dimainkan, namun pelbagai fungsi di dalam permainan seperti parties, social, chat, quests, progression, glory, ice, login-logout, market tidak boleh diakses. Fungsi pemadan pemain pula tidak lagi akan diuruskan oleh pelayan namun oleh klien pemain sendiri.

SEMC akan memperbaiki fungsi-fungsi lainnya di minggu-minggu mendatang dengan matlamat utama mereka memperkenalkan pelayan yang dihos oleh komuniti. Sama ada perancangan ini akan menemui kejayaan hanya akan ditentukan oleh masa. Pada ketika ini, pemain yang berminat untuk berbincang lebih lanjut mengenai pelan ini boleh menyertai sesi AMA di laman Reddit Vainglory.