Esukan Tempatan

Chin “TaintedOnes” Wei Song Pertikai Keputusan Jurulatih Gugur Beliau Daripada Skuad AoV Sukan SEA

20/10/2019 2 minit bacaan

Penulis:

Chin “TaintedOnes” Wei Song Pertikai Keputusan Jurulatih Gugur Beliau Daripada Skuad AoV Sukan SEA

Bacaan: 2 minit

Sukan Asia Tenggara akan bermula pada penghujung tahun ini dan buat pertama kalinya, esukan akan dipertandingkan sebagai sukan rasmi berpingat. Sebanyak 6 judul permainan telah terpilih iaitu Dota 2, Arena of Valor, Hearthstone, Tekken 7, Starcraft II dan Mobile Legends.

Pusingan kelayakan bagi mewakili negara telah diadakan pada bulan April yang lalu dan para pemenang telah pun diketahui. Walaubagaimanapun, senarai atlet yang akan mewakili negara masih lagi tidak ditentukan dan kedua-dua juara dan naib juara pusingan kelayakan dibawa masuk ke pusat latihan negara.

Senarai akhir pemain hanya akan diketahui selepas jurulatih memilih para pemain usai tamatnya tempoh latihan ini. Dalam perkembangan terkini, salah seorang pemain yang telah menjuarai pusingan kelayakan dan menyertai latihan, Chin “TaintedOnes” Wei Song dari pasukan M8HEXA telah hadir dengan kenyataan memberitah bahawa beliau telah digugurkan dari senarai akhir untuk permainan Arena of Valor.

TaintedOnes di dalam kenyataan beliau mempertikaikan keputusan ini dan menyatakan bahawa keputusan jurulatih pasukan ini adalah tidak berasas. Menurut beliau, walaupun pasukan beliau M8HEXA menjuarai pusingan kelayakan dengan cemerlang, hanya dua pemain pasukan tersebut telah dipilih masuk ke senarai akhir pemain.

Pihak pengurusan M8HEXA juga telah memaklumkan bahawa mereka telah bertemu dengan pihak pengurusan Esports Malaysia untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan dengan keputusan ini. Walaubagaimanapun, keputusan ini dimaklumkan akan dikekalkan.

Bagi anda yang tidak mengenali Taintedones, beliau bukanlah individu yang asing lagi di arena esukan tempatan. Beliau pernah bermain secara profesional bagi permainan League of Legends sebelum beralih kepada permainan Arena of Valor. Beliau dan pasukan beliau M8HEXA sering menjuarai kejohanan tempatan dan menyertai kejohanan antarabangsa bagi permainan AoV ini.

Sementara itu, Firdaus ‘MasterRamen’ Hashim , pengurus pasukan esukan negara bagi Sukan SEA ini memaklumkan dengan lebih lanjut mengenai proses pemilihan atlet esukan negara. Beliau memaklumkan bahawa dari senarai panjang 30 pemain yang telah menyertai kem latihan negara, hanya 22 telah dipilih jurulatih untuk ke senarai pendek.

Menurut beliau, senarai pendek ini ditentukan melalui laporan prestasi atlet sepanjang mereka berada di kem latihan. Senarai pendek ini akan dinilai oleh pihak Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan Sea yang disertai oleh MOM, MSN, ISN dan pihak-pihak yang bertanggungjawab menilai atlet-atlet yang disenaraikan.

Tambah beliau, komitmen para pemain terhadap sesi latihan adalah perkara yang paling dititik beratkan oleh pihak pengurusan dan juga MSN. Jurulatih telah menghantar laporan prestasi, kehadiran pemain dan jam kehadiran setiap pemain hadir bagi sesi latihan. Kesemua perkara ini dinilai jurulatih yang kemudiannya memajukan senarai pendek pemain kepada pihak pengurusan untuk memuktamadkan barisan atlet.

Beliau berkata bahawa beliau selaku pengurus pasukan menghormati keputusan yang dibuat oleh jurulatih dan juga Ketua jurulatih dalam memilih pemain terbaik mereka. Akhir sekali, beliau memaklumkan bahawa senarai akhir pemain akan didedahkan tidak lama lagi dan sebarang pertanyaan berkaitan dengannya akan dijawab di sesi sidang media tersebut.

Sumber: