Hearthstone

Blizzard Dikritik Selepas Gantung Pemain Hearthstone Kerana Menyatakan Sokongan Terhadap Protes Di Hong Kong

09/10/2019 2 minit bacaan

Penulis:

Blizzard Dikritik Selepas Gantung Pemain Hearthstone Kerana Menyatakan Sokongan Terhadap Protes Di Hong Kong

Bacaan: 2 minit

Semenjak daripada bulan Mac yang lalu, rakyat jelata di Hong Kong telah mengadakan protes besar-besaran membantah keputusan kerajaan mereka merangka rang undang-undang baharu, yang membenarkan pihak berkuasa tempatan menangkap dan mengekstradisi pelarian jenayah yang dikehendaki di wilayah yang tidak mempunyai perjanjian ekstradisi dengan mereka seperti China dan Taiwan.

Tindakan ini dilihat sebagai cubaan membenarkan kerajaan China untuk campur tangan di dalam perihal dalaman di Hong-Kong yang mempunyai kuasa autonomi tersendiri terpisah daripada China hasil polisi ‘Satu Negara Dua Sistem’ yang diperkenalkan selepas Pemerintahan Kolonial British menyerahkan semula wilayah Hong Kong kepada China pada tahun 1997.

Foto memperlihatkan protes di Hong Kong – Sumber : VoaCantonese

Walaupun pengenalan rang undang-undang baharu tersebut kini telah ditarik semula, protes masih lagi berjalan sehingga kini kerana beberapa permintaan para pemprotes masih lagi tidak dipenuhi kerajaan di Hong-Kong. Sepanjang protes ini berjalan, sebanyak 8 peserta dilaporkan telah meninggal dunia dan lebih 2000 yang lain menerima kecederaan hasil tindakan pihak berkuasa di Hong Kong.

Dua hari yang lalu, seorang pemain profesional bagi permainan Hearthstone, Chung “blitzchung” Ng Wai telah mengucapkan sokongan terhadap protes ini ketika wawancara kemenangan di kejohanan Asia Pacific Hearthstone Grandmasters. Selepas menewaskan Jang “DawN” Hyun Jae. Chung di kejohanan tersebut, blitzchung mengutarakan slogan ‘Liberate Hong Kong, revolution of our time’ (Bebaskan Hong Kong, revolusi masa kita) yang digunakan di protes di Hong Kong.

Blizzard kemudiannya mengeluarkan kenyataan bahawa tindakan beliau tersebut telah melanggar peraturan kejohanan dan memutuskan bahawa beliau akan digantung setahun dari arena kompetitif Hearthstone. Kemenangan beliau di Asia Pacific Hearthstone Grandmasters juga ditarik semula bersama-sama dengan wang hadiah bagi liga Grandmasters Musim 2.

Tindakan Blizzard ini menyebabkan bantahan dan kritikan ramai dari pihak umum yang melihat Blizzard cuba untuk berpihak kepada kerajaan Hong Kong dan China kerana kepentingan tersendiri syarikat permainan itu. Bantahan dan sokongan terhadap Hong Kong kini berleluasa di setiap laman web berkaitan dengan permainan keluaran Blizzard termasuklah di laman reddit, ruangan chat di strim kejohanan Overwatch dan Hearthstone dan pelbagai lagi.

Ramai peminat kini memanggil usaha untuk memboikot permainan terbitan Blizzard dan mengelar tindakan mereka sebagai serangan terhadap kebebasan bersuara. Blitzchung menyatakan bahawa beliau tidak menyesali keputusan beliau melakukan ucapan tersebut.

Pemain berusia 21 tahun itu berkata kepada AFP bahawa “Saya tidak menyangka bahawa komen saya mampu memberikan impak yang besar,”. Menurut beliau, “Saya hanya menyataan pendirian saya dan kenapa harus saya takut kepada ancaman ‘White Terror‘ seperti ini.”

Di laman sosial, ramai pihak mulai menyatakan bahawa mereka berhasrat untuk menutup kesemua akaun permainan Blizzard mereka kerana isu ini. Sokongan lain juga dilakukan seperti tindakan para pemain Universiti Amerika yang mengangkat sepanduk ‘Bebaskan Hong Kong, Boikot Blizzard’ di strim kejohanan Collegiate Hearthstone.

Blizzard pada ketika ini masih berdiam diri dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan dengan isu ini.

Sumber: Inven Global, Slasher, AFP