Fortnite

Penubuhan Kesatuan Pemain Profesional Fortnite Diumumkan

9 bulan lalu

Penubuhan Kesatuan Pemain Profesional Fortnite Diumumkan

Pemain esukan kini merupakan sebuah kerjaya yang tidak lagi asing di serata dunia. Namun begitu, industri ini boleh dikatakan masih lagi muda dan masih lagi dibanjiri dengan pelbagai masalah terutamanya kepada pemain itu sendiri yang tidak biasa berurusan dengan hal ehwal kontrak, perjanjian dan sisi perniagaan arena esukan.

Beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pihak sudah memulakan usaha untuk mengurangkan masalah ini dengan menubuhkan persatuan pemain bagi permainan esukan masing-masing.

Penubuhan persatuan ini adalah bertujuan bagi membantu para pemain profesional mempertahankan hak mereka dan membekalkan panduan kepada pemain baharu. Ini adalah kerana kebanyakan pemain esukan berumur dikalangan belasan tahun sehingga awal 20-an menyebabkan mereka menjadi sasaran untuk dipergunakan pihak tidak bertanggungjawab.

Terkini, 16 pemain profesional bagi permainan Fortnite Battle Royale di Eropah dan Amerika Utara telah mengumumkan penubuhan Fortnite Professional Players Association (FNPPA- Persatuan Pemain Profesional Fortnite). Menurut kenyataan yang dikeluarkan mereka, persatuan ini bertujuan untuk menjadi platform bagi para pemain profesional Fortnite untuk menyuarakan pendapat mereka berkaitan dengan hal ehwal arena kompetitif Fortnite.

Arena kompetitif Fortnite sudah tidak asing dengan kontroversi terutamanya apabila pembangun permainan itu, Epic Games sering hadir dengan keputusan yang tidak dipersetujui ramai seperti penambahan B.R.U.T.E Mech baru-baru ini.

Pada ketika ini, barisan lembaga persatuan ini dibarisi 16 pemain profesional antaranya adalah Kyle “Bugha” Giersdorf dan David “Aqua” Wang yang menjuarai kejohanan Piala Dunia Fortnite tempoh hari. Mereka juga berjanji untuk menambah masuk lebih ramai pemain profesional dari serata dunia selepas ini untuk memastikan bahawa keseluruhan suara pemain dapat disampaikan.

Selain daripada persatuan ini, permainan lain yang mempunyai persatuan pemain profesional tersendiri adalah Counter Strike Global Offensive. Ia ditubuhkan pada tahun 2018 lalu, ia dibarisi para pemain dan individu ternama permainan tersebut. Di Malaysia sendiri, Persatuan Pemain Esukan Malaysia (MESPA) telah ditubuhkan pada penghujung tahun lalu dalam usaha mereka mempertahankan hak pemain esukan tempatan.

Penubuhan persatuan-persatuan ini sudah pasti merupakan berita yang baik kepada industri dalam memastikan hak kesemua pihak dapat dipertahankan. Ia juga akan membantu menaikkan taraf industri dan menambah keyakinan para pelaburan dan juga orang awam.

Sumber : Dot Esports

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments