Teamfight Tactics

Teamfight Tactics Mempunyai Lebih 33 juta Pemain Bulanan – Akan Mempunyai Arena Kompetitif Rasmi Bermula 2020

Diterbitkan: 29/09/2019 (Kemaskini: 09/10/2019) 2 minit bacaan

Penulis:

Teamfight Tactics Mempunyai Lebih 33 juta Pemain Bulanan – Akan Mempunyai Arena Kompetitif Rasmi Bermula 2020

Bacaan: 2 minit

Pada awal tahun ini, dunia permainan dilanda dengan demam autobattler yang dimulakan oleh mod permainan Dota Auto Chess. Jutaan pemain melanggan mod permainan tersebut dalam masa yang singkat dan hasilnya pelbagai syarikat permainan berlumba untuk hadir dengan mod permainan serupa bagi permainan utama mereka termasuklah Tencent, Valve, Moonton dan Riot Games.

Walaupun demam tersebut telah pun berkurangan dan ia bukan lagi sebuah topik yang hangat, ini tidak bermakna ia tidak lagi dimainkan ramai. Riot Games baru-baru ini mendedahkan bahawa mod permainan autobattler yang dibangunkan mereka untuk League of Legends, Teamfight Tactics (TFT) mempunyai lebih 33 juta pemain bulanan, membuktikan bahawa mod permainan tersebut masih lagi amat popular.

TFT juga telah membantu menaikkan jumlah pemain serentak bagi klien permainan League of Legends sebanyak 30 peratus semenjak mod permainan tersebut dilancarkan dan nilai tersebut kekal berterusan sehingga kini. Riot Games juga mendedahkan perancangan seterusnya mereka bagi mod permainan tersebut.

Graf memperlihatkan jumlah jam permainan per hari bagi setiap mod permainan sampingan di klien League of Legends.

Melihat kepada ratio bagi permainan normal melawan permainan berangking iaitu 4:1 (Unranked vs Ranked), Riot Games mengumumkan bahawa mereka akan mulai membina dunia kompetitif rasmi bagi mod permainan TFT bermula pada tahun hadapan (2020). Jumlah pemain yang bermain ranking yang agak tinggi meyakinkan mereka bahawa arena profesional tersendiri bagi TFT amat ditunggu-tunggu pemain.

Mereka masih lagi belum bersedia untuk untuk mendedahkan perancangan terperinci mereka berkaitan dengan dunia kompetitif ini namun menegaskan bahawa mereka komited dalam menyediakan platform bagi para pemain yang mahu menjadi yang terbaik di dunia di dalam mod permainan tersebut.

Sumber : Riot Games