Dota 2

Valve Bereksperimen Dengan Sistem Pemadan Pemain Dota 2

1 tahun lalu

Valve Bereksperimen Dengan Sistem Pemadan Pemain Dota 2

Pada awal bulan Julai 2019 yang lalu, Valve mengumumkan Summer Scrub bagi permainan Dota 2, iaitu tempoh masa khas untuk mereka memfokuskan kepada penambahbaikan permainan, menghapuskan pepijat dan menerima cadangan penambahbaikan quality-of-life yang dimahukan komuniti.

Lanjutan daripada itu, Valve kini mengumumkan bahawa proses Summer Scrub ini akan dibahagikan kepada dua bahagian dimana bahagian pertama yang dilancarkan hari ini akan memfokuskan kepada penambahbaikan sistem pemadan pemain (matchmaking) manakala bahagian kedua kelak akan memfokuskan kepada pepijat dan hal lainnya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan,pengubahan sistem pemadan pemain ini akan memfokuskan kepada teras sistem tersebut dan pelbagai aspek berkaitan dengannya seperti keseimbangan dalam pasukan, kelakuan pemain, pengalaman bermain bagi pemain baharu, kelakuan kasar, pembelian akaun, aspek permainan sepasukan dan rakan, kedinamikan pemadan pemain bagi permainan dengan nilai MMR yang tinggi dan pengalaman bermain Dota 2 secara keseluruhannya.

*MMR = Rating Pemadan Pemain/Nilai Mata Ranking

Kemaskini hari ini membawakan beberapa perubahan di peringkat eksperimen yang akan kekal sehingga tamat musim ini. Pertama sekali, konsep perbezaan diantara MMR solo dan MMR berparti kini dihapuskan. Menurut pembangun, Dota 2 selaku permainan berpasukan kini terlalu menekankan permainan solo menyebabkan majoriti pemain memilih untuk bermain sendirian berbanding secara berparti dengan rakan.

Ini menyebabkan timbulnya pelbagai aspek negatif dan ketidak-gembiraan dalam permainan. Sudah tentu jika bermain dengan rakan akan mempunyai masalah kerana perbezaan MMR individu namun mereka yakin masalah ini mampu diselesaikan dengan algoritma yang lebih baik. Valve yakin bahawa bermain bersama rakan tidak akan memberikan efek yang besar terhadap nilai MMR pemain dengan hadirnya sistem baharu ini.

Valve juga memisahkan MMR kepada dua jenis iaitu bagi posisi teras dan posisi sokongan (Core MMR / Support MMR). Ini adalah kerana menersi kajian yang dijalankan, pemain mempunyai tahap keselesaan yang berbeza bagi setiap posisi yang dimainkan mereka dan ini memberikan kesan terhadap kelakuan mereka semasa bermain. Oleh yang demikian, fungsi permainan ranked roles kini dibawakan kepada umum dan bukan sahaja pemilik pas Dota Plus.

Pemain kini dikehendaki memilih posisi yang mahu dimainkan sebelum mencari perlawanan dan pemain akan dipadankan mengikut posisi dan nilai MMR bagi posisi yang dipilih sama ada posisi teras atau sokongan. Papan pendahulu bagi kedua-dua nilai MMR ini juga akan diperkenalkan. Selepas tamat musim kelak iaitu pada tempoh selepas berakhirnya kejohanan The International 2019, maklumbalas pemain akan dikutip dan kesemua isu dan masalah akan diselesaikan dan seabrang perubahan yang diperlukan akan dilakukan.

Sumber : Dota 2 Blog

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments