Mobile Legends Tempatan

Geek Fam, Shopee Bosskurr Dan Reborn Adalah Antara Pasukan Yang Akan Kembali Ke MPL Musim Ke-4

1 tahun lalu

Geek Fam, Shopee Bosskurr Dan Reborn Adalah Antara Pasukan Yang Akan Kembali Ke MPL Musim Ke-4

Kemaskini: Resurgence mengantikan Bigetron SG manakala pasukan Axis Esports mengantikan Reborn (mengekalkan 4 pemain dari pasukan Reborn).


Pendaftaran bagi pusingan kelayakan terbuka untuk musim ke-4 Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL MY/SG) telah pun bermula pada 5 Julai 2019 lalu, dan pasukan-pasukan yang menyertainya akan berentap tidak lama lagi untuk merebut slot ke musim tetap liga tersebut.

Terkini, lebih banyak perincian bagi musim terbaru ini didedahkan oleh Moonton dan eGG Network selaku penganjur. Bagi musim ini, sebanyak 6 pasukan dari musim ke-3 terdahulu telah menerima jemputan terus ke musim tetap liga. Empat daripadanya adalah pasukan dari Malaysia iaitu Geek Fam, Shopee Bosskurr, Reborn dan Xpax X-assins. Baki dua pasukan pula adalah pasukan dari Singapura iaitu Evos Esports SG dan Bigetron SG.

Dengan pertukaran pemain merupakan norma menjelang musim baharu, Pengurus Esukan bagi Moonton, Jayden Wei mengesahkan bahawa pasukan-pasukan jemputan ini akan mengekalkan slot jemputan mereka sekiranya mereka mempunyai 60% pemain asal dari musim ke-3 lalu.

Seperti mana musim-musim sebelum ini, liga akan terus menggunakan sejumlah daripada nilai hadiah keseluruhan yang ditawarkan sebagai peruntukan subsidi mingguan pasukan dan bonus lainnya sepanjang berlangsungnya musim tetap. Dari RM 414,000 (USD 100,000) yang ditawarkan, RM 203,000 akan digunakan untuk subsidi ini manakala baki RM 211,000 akan digunakan sebagai hadiah pusingan main-habis liga yang dijangka akan berlangsung pada bulan Oktober 2019 kelak.

Bagi anda yang mahu mencuba nasib, pendaftaran terbuka bagi kedua-dua negara masih lagi dibuka sehingga 14 Julai ini. Pendaftaran boleh dilakukan melalui pautan ini.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments