Dota 2

Jumlah Hadiah The International 2019 Atasi Edisi Tahun Lalu Dalam Masa Singkat – Lebih RM100 Juta Terkumpul

02/07/2019 1 minit bacaan

Penulis:

Jumlah Hadiah The International 2019 Atasi Edisi Tahun Lalu Dalam Masa Singkat – Lebih RM100 Juta Terkumpul

Bacaan: 1 minit

Pertama kali bakal diadakan di benua Asia, kejohanan Dota 2 The International 2019 dalam masa yang singkat berjaya mengatasi jumlah hadiah terkumpul edisi tahun 2018 lalu.

Semenjak battle pass The International 2019 dilancarkan pada 7 Mei 2019, jumlah hadiah terkumpul bagi tahun ini hanya mengambil masa selama 54 hari sahaja untuk mengatasi jumlah tahun lalu yang berjaya mencapai nilai USD25,532,177. Ini adalah jauh lebih pantas berbanding masa yang diambil bagi jumlah yang sama pada tahun lalu yang mengambil masa selama 110 hari. Pada ketika artikel ini ditulis, jumlah hadiah agi The International 2019 telah pun mencapai angka USD25,569,771 (~RM105,684,977).

Jumlah hadiah terkumpul bagi edisi tahun ini dijangka akan terus meningkat naik dengan lebih banyak lagi terutamanya dengan tempoh masa yang tinggal berbaki 55 hari lagi sebelum hari terakhir bagi para peminat menyumbang ke jumlah hadiah ini tiba. Menurut RPG.IO, sehingga 2 Julai 2019 ini sekitar 1,803,655 orang telah membeli battle pass bagi tahun ini.

Bagi anda yang kurang mengenali kaedah jumlah hadiah ini dikumpul, setiap jualan battle pass bagi kejohanan The International saban tahun akan menyumbang secara terus sebanyak 25% kepada jumlah hadiah keseluruhan kejohanan The International.

The International 2019 akan berlangsung dari 15 Ogos 2019 sehingga 25 Ogos 2019 kelak bertempat di Mercedes-Benz Arena di Shanghai. Senarai 12 pasukan jemputan bagi kejohanan ini sudah pun dilengkapkan di kejohanan Epicenter Major. Dengan taruhan yang lebih besar dan senarai pasukan yang amat mengagumkan, penganjuran edisi kali ini pasti dinanti-nantikan para peminat.