Dota Underlords

Dota Underlords Kini Rasmi – Boleh Terus Dimainkan Pemilik Battle Pass Dota 2

14/06/2019 < 1 minit bacaan

Penulis:

Dota Underlords Kini Rasmi – Boleh Terus Dimainkan Pemilik Battle Pass Dota 2

Bacaan: < 1 minit

Permainan Dota Auto Chess mandiri yang dibangunkan oleh Valve, Dota Underlords kini telah diumumkan secara rasmi.

Pada ketika ini, ia berada di dalam fasa pratonton dimana hanya para pemilik Battle Pass Dota 2 sahaja boleh memainkannya. Namun begitu, beta terbuka akan dimulakan seminggu lagi bagi kesemua pemain lain.

Dota Underlords akan tersedia untuk dimainkan bagi PC (Steam), Mac, Linux, Android dan iOS secara percuma. Menurut Valve, pratonton ini adalah bertujuan untuk melakukan ujian tegasan menjelang ujian beta terbuka kelak. Bagi fasa pratonton ini, para pemain boleh bermain bersama pemain lain, bermain bersama bot dan bermain secara parti dengan rakan.

Bagi ujian terbuka kelak, fungsi lain akan sedia untuk digunakan termasuklah permainan ranking dan permainan rentas-platform. Akaun pemain juga akan disegerakkan bagi kesemua platform membolehkan pemain menggunakan apa sahaja platform pada bila-bila masa tanpa kehilangan sebarang kemajuan akaun mereka.

Bagi anda yang agak keliru, permainan Underlords ini adalah berasaskan mod permainan Dota Auto Chess yang dibangunkan oleh Drodo Studios. Permainan ini menjadi popular selepas ia dilancarkan pada awal tahun 2019 lalu. Oleh kerana kepopularannya, ramai syarikat pembangunan permainan kini bakal melancarkaan versi tersendiri mereka berdasarkan oermainan Auto Chess ini.

Sebagai contoh, Riot Games telah mengumumkan versi tersendiri mereka iaitu Teamfight Tactics untuk League of Legends. Pembangun asal iaitu Drodo Studios juga telah melancarkan versi mudah alih untuk Android dan iOS dan bakal melancarkan versi PC yang eksklusif di Epic Games Store. Selepas battle royale, permainan auto chess adalah trend terhangat dunia permainan video tahun ini.

Sumber : Dota 2 Blog