Dota Auto Chess Dota Underlords

Video Memaparkan Versi Awal Permainan Dota Underlords Tertiris

1 tahun lalu

Video Memaparkan Versi Awal Permainan Dota Underlords Tertiris

Ramai sudah sedia maklum bahawa Valve sedang membangunkan dan bakal melancarkan permainan baharu dengan nama Dota Underlords. Mereka telah pun mendaftarkan tanda dagang dan domain khas iaitu underlords.com bagi permainan itu.

Walaupun Valve telah mengumumkan bahawa mereka sedang membangunkan versi tersendiri bagi mod permainan popular Dota Auto Chess, mereka tidak mengumumkan sebarang perincian mengenainya termasuklah nama yang akan digunakan oleh versi mandiri itu. Tiada sebarang pengumuman rasmi mengaitkan permainan tersebut dengan nama Underlords.

Namun begitu, sebuah video telah hadir hari ini memaparkan versi awal permainan Dota Underlords untuk peranti mudah alih. Seperti yang dijangkakan, ia adalah permainan Auto Chess mandiri Valve. Walaupun masih ada sebarang pihak atau sumber dari Valve mengesahkan ketulenan video ini, ramai peminat merasakan ia adalah benar.

Video ini memaparkan permainan Dota Underlords dijalankan pada sebuah peranti android dan dijana oleh enjin permainan Source 2. Secara umumnya, hanya terdapat sedikit perbezaan dengan versi sedia ada permainan Auto Chess di arked Dota 2. Versi yang dipaparkan juga dilihat masih lagi di dalam peringkat awal pembangunan kerana ia dipenuhi dengan grafik pemegang tempat.

Apa yang mengejutkan adalah Valve membangunkan kedua-dua versi pc dan mudah alih kerana ramai menjangkakan Valve hanya akan membangunkan versi mandiri untuk pc sahaja kerana pembangun asal permainan Auto Chess iaitu Drodo Studios sudah pun membangunkan versi permainan mudah alih tersendiri mereka.

Bagi anda yang tidak mengenali permainan Auto Chess, ia boleh dimainkan secara percuma di arked Dota 2. Versi mudah alih yang dibangunkan oleh Drodo Studios tanpa karekter Dota 2 juga telah sedia dimainkan di platform Android dan iOS. Sebelum lebih banyak berita berkaitan dengan Dota Underlords tiba dalam bulan-bulan mendatang, adalah lebih baik sekiranya anda bermain permainan Auto Chess ini dan mengenali corak permainannya kerana ianya amat menyeronokkan dan anda boleh bersedia menjelang pelancaran rasmi Dota Underlords kelak.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments