League of Legends Riot Games

Lebih 150 Pekerja Riot Games Sertai Protes Terhadap Keputusan Syarikat Paksa Timbang Tara Persendirian

08/05/2019 2 minit bacaan

Penulis:

Lebih 150 Pekerja Riot Games Sertai Protes Terhadap Keputusan Syarikat Paksa Timbang Tara Persendirian

Bacaan: 2 minit

Foto : Nathan Grayson, Kotaku

Lanjutan daripada laporan mengenai usul yang difailkan oleh Riot Games tempoh hari bagi menghalang para pekerja mereka dari mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat tersebut dan menyertai timbang tara persendirian, lebih 150 orang pekerja syarikat tersebut telah keluar dari pejabat Riot Games di Los Angeles bagi memprotes terhadap tindakan tersebut.

Protes tersebut berlangsung di tempat letak kereta di kampus pejabat Riot Games dengan para peserta membawa piket dan melaungkan ucapan berkaitan dengan protes tersebut. Jocelyn Monahan, ahli strategi awasan sosial di Riot Games yang ditemuramah oleh Kotaku berkata bahawa mereka meminta agar Riot Games menamatkan praktik timbang tara persendirian bagi kesemua para pekerja syarikat tersebut termasuklah bekas pekerja, pekerja semasa dan akan datang.

Para peserta protes – Foto : Nathan Grayson, Kotaku

Di penghujung protes, Monahan turut mengumumkan bahawa sekiranya Riot Games tidak melakukan sebarang komitmen terhadap isu timbang tara persendirian ini menjelang 16 Mei (waktu tempatan, PST) iaitu tarikh mesyuarat ‘Riot Unplugged’ seterusnya, beliau dan peserta protes ini akan mengambil tindakan lanjut.

Pihak pengurusan Riot Games melalui kenyataan yang dihantar kepada Kotaku berkata bahawa mereka menghormati keputusan para pekerja mereka menyertai protes ini dan tidak akan bertolak ansur sekiranya ada para peserta yang dihukum (oleh pegawai atasan mereka) kerana menyertainya protes ini (atau tidak menyertainya).

Antara isu yang dibangkitkan juga adalah tindakan Riot Games mengekalkan dua pegawai atasan yang terlibat di dalam kes seksisme tempoh hari. Walaupun mereka telah dihukum, ramai berpendapat bahawa hukuman yang dikenakan seperti terhadap COO syarikat itu iaitu pengantungan dua bulan tanpa gaji adalah terlalu ringan. Seorang pekerja juga mengumumkan bahawa beliau akan meletak jawatan dua minggu lagi kerana tidak mahu berhadapan dengan pekerja/pegawai bermasalah yang dilindungi pihak atasan di Riot Games ini.

Terdapat juga peserta yang hadir bagi memberikan sokongan terhadap dua plaintif yang menyaman Riot Games bagi kes seksisme tersebut. Sebilangan yang lain pula hadir kerana menurut mereka, selepas beberapa bulan semenjak kes ini dilaporkan, tiada sebarang usaha jelas dapat dilihat dilakukan oleh pihak atasan syarikat untuk mengatasinya.

Sumber : Kotaku