Dota 2

Vici Gaming Adalah Juara DreamHack Major – Tempah Tiket Ke The International 2019

25/03/2019 2 minit bacaan

Penulis:

Vici Gaming Adalah Juara DreamHack Major – Tempah Tiket Ke The International 2019

Bacaan: 2 minit

Menakjubkan. Selepas menjuarai kejohanan Starladder Minor tempoh hari, Vici Gaming terus memperlihatkan permainan di tahap tertinggi dan kini menakluk DreamHack Stockholm Major.

Selepas Starladder Minor, Vici Gaming tiba ke pusingan kumpulan D di DreamHack dan berjaya bermain dengan baik dan memperoleh tempat kedua kumpulan sekaligus berada di kumpulan menang di peringkat main habis.

Selepas itu, mereka terus cemerlang mengekalkan kedudukan di kumpulan menang, menewaskan juara Major sebelum ini Team Secret dan kemudiannya pasukan PSG.LGD dan Fnatic untuk terus mara ke perlawanan akhir kejohanan bertemu dengan pasukan Virtus Pro.

Walaupun hadir dari kumpulan kalah selepas tewas kepada Fnatic di perlawanan pertama pusingan main habis, Virtus Pro bukanlah pasukan biasa-biasa. Pada musim ini, mereka telah berjaya melayakkan diri ke kesemua tiga perlawanan akhir kejohanan bertaraf major dan memenangi satu daripadanya di Chongqing, China.

Perlawanan akhir kali ini bermula dengan kemenangan kepada Vici Gaming. Ia berlangsung sengit sehingga perlawanan berlanjutan sehingga lebih 40-minit. Namun begitu, selaku pasukan terbaik musim ini, Virtus Pro bangkit di perlawanan kedua. Mengekalkan draf yang hampir sama dengan perlawanan pertama, kali ini mereka berjaya melaksanakan perancangan mereka menewaskan Vici.

Tersedak seketika, Vici terus garang di perlawanan ketiga menguasai sepenuhnya perlawanan menamatkan ia dalam tempoh masa 22 minit sahaja diterajui Bloodseeker. Untuk perlawan ke-empat, Virtus Pro memilih Storm Spirit dan Juggernaut untuk mencari mata penyamaan. Taktik ini berhasil apabila mereka pantas mendahului perlawanan memberikan hero mereka penguasaan awal sehingga Vici kehilangan punca untuk mengatasinya.

Namun begitu, usaha Virtus Pro ini sia-sia sahaja apabila perlawanan kelima berlangsung dengan amat berat sebelah, dikuasai sepenuhnya oleh Vici Gaming yang memilih Razor dan Medusa. Perlawanan bermula dengan amat baik kepada Razor memberikan ia kelebihan berbanding hero pilihan VP dan akhirnya menakluk sepenhnya perlawanan memaksa VP mengucapkan tahniah kepada Vici dalam tempoh 21 minit selepas perlawanan bermula.

Dengan menjuarai dua kejohanan minor dan major berturut-turut ini, Vici Gaming menjadi pasukan ke-empat memperoleh mata DPC yang mencukupi untuk dijemput terus ke kejohanan The International 2019. Mereka menjadi pasukan dari China pertama memperoleh jemputan ini. Sebagai juara jga, mereka membawa pulang hadiah wang berjumlah USD350,000.

Virtus Pro pula, walaupun sekadar naib juara, mereka kini berada di puncak papan pendahulu DPC dengan 10,950 mata menolak pasukan Secret ke tempat kedua selepas mereka pulang lebih awal di tempat ke-empat kejohanan di belakang pasukan Fnatic di tempat ketiga. Fnatic selaku wakil Asia Tengara memperlihatkan mereka juga bukan calang-calang pasukan apabila kini semakin hampir untuk memperoleh cukup mata DPC untuk terbang ke Shanghai.