Esukan

Kajian Oxford Menunjukkan Tiada Kaitan Antara Permainan Video Dan Keganasan Dikalangan Remaja

12/03/2019 < 1 minit bacaan

Penulis:

Kajian Oxford Menunjukkan Tiada Kaitan Antara Permainan Video Dan Keganasan Dikalangan Remaja

Bacaan: < 1 minit

Adakah permainan berunsur keganasan mempengaruhi tindak-tanduk dan kelakuan remaja? Menurut para pengkaji di Institut Internet Oxford di Universiti Oxford, jawapannya adalah tidak.

Menerusi kajian terbaru yang diterbitkan oleh Royal Society Open Science, mereka mendapati bahawa tiada hubungan di antara kelakuan agresif di kalangan remaja dan masa yang diperuntukkan bermain permainan dengan unsur keganasan.

Kajian ini dilakukan pada tahun 2018 lalu melibatkan 2008 orang remaja berusia 14 dan 15 tahun di Britain. Menurut Universiti Oxford, kajian ini merupakan antara kajian paling sahih di dalam topiknya pada ketika ini di mana ia dilakukan menerusi gabungan data subjektif dan objektif bagi mengira hubungan antara sifat agresif remaja dan keganasan di dalam permainan video.

Tidak seperti kajian-kajian terdahulu di dalam topik yang sama, pengkaji tidak hanya mengambil maklum balas dari para remaja, malah mengambil juga respon daripada ibu-bapa dan penjaga remaja-remaja ini bagi melihat tahap keagresifan anak-anak mereka. Pengkaji bagaimanapun menegaskan bahawa walauupun tiada bukti menunjukkan hubungan di antara permainan video dan keganasan di kalangan remaja, ini tidak bermakna mekanik atau situasi di dalam permainan tidak membangkitkan reaksi kemarahan yang mampu diklasifikasikan sebagai kelakuan anti-sosial.

Walaupun kelakuan seperti trash-talking, trolling dan griefing di dalam permainan video masih berlaku, ia berdiri sendiri di dalam konteksnya, tidak memberikan perbezaan yang mampu di lihat atau mempengaruhi kelakuan dunia sebenar remaja tersebut.

Sumber : Universiti Oxford, The Royal Society Publishing