Esukan

Majlis Perbandaran Subang Jaya Wujud Garis Panduan Perlesenan Aktiviti Esukan

2 tahun lalu

Majlis Perbandaran Subang Jaya Wujud Garis Panduan Perlesenan Aktiviti Esukan

Dengan perkembangan pesat arena esukan tempatan pada ketika ini, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjadi yang pertama di kalangan pihak berkuasa tempatan mewujudkan garis panduan khas bagi perlesenan dan penganjuran acara-acara esukan.

Perkara ini diumumkan oleh Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han yang mengadakan lawatan tapak di premis pusat esukan, The Pantheon di The Square, One City bersama-sama dengan beberapa pihak berkuasa tempatan lainnya.

Beliau berkata bahawa perkara ini adalah bagi mempergiatkan aktiviti esukan sebagai acara yang sihat dan memperbetulkan pandangan masyarakat akan premis kafe siber yang sebelum ini dikaitkan dengan aktiviti perjudian. Pada ketika ini, dua pusat esukan telah menerima lesen ini bagi menjalankan aktiviti esukan dengan sah.

Perlesenan ini adalah perlu terutamanya kerana aktiviti esukan pada masa kini selalunya melibatkan pemberian hadiah wang tunai. Dengan adanya lesen rasmi ini, penganjur dan pemilik pusat esukan dapat menjalankan acara mereka tanpa risau dikaitan dengan sebarang aktiviti perjudian.

Pada masa kini, berbeza dengan kafe siber, telah wujudnya premis khas memfokuskan kepada acara esukan seperti The Pantheon dan Battle Arena Malaysia. Berbanding dengan kafe siber yang menawarkan sewaan komputer, mereka ini lebih memfokuskan kepada acara pertandingan esukan. Dengan adanya garis panduan rasmi ini, acara-acara ini dapat dilakukan dengan lebih baik tanpa melanggar sebarang undang-undang tempatan.

MPSJ juga berhasrat mewujudkan bengkel khas bersama dengan pihak berkuasa tempatan lainnya bagi berkongsikan dan membincangkan garis panduan ini untuk digunapakai di bandar-bandar mereka.

Video oleh SelangorTV

Sumber : Sinar Harian, SelangorTV

Sumber foto : The Pantheon

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments