Dota 2

Apa Itu Dota Auto Chess Dan Kenapa Ia Begitu Popular?

2 tahun lalu

Apa Itu Dota Auto Chess Dan Kenapa Ia Begitu Popular?

Pada ketika ini, sebuah permainan bernama Dota Auto Chess sedang meningkat naik popularitinya dan menjadi bualan ramai. Namun begitu, apakah Dota Auto Chess (DAC) dan kenapa ramai pemain ketagih memainkannya?

Seperti namanya, DAC merupakan sebuah mod permainan bagi Dota 2. Bagi anda yang tidak tahu, Dota 2 mempunyai sokongan terhadap permainan tersuai yang boleh diakses pada tab arked di dalam klien permainan itu. Komuniti atau mana-mana pembangun bebas menghasilkan mod permainan mereka sendiri menggunakan Dota 2 Workshop Tools yang disediakan oleh Valve.

Dota Auto Chess merupakan mod permainan yang dihasilkan oleh Drodo Studio pada awal tahun ini. Ia merupakan permainan strategi masa sebenar yang boleh dimainkan oleh lapan orang pemain, menentang satu sama lain secara bergilir. Permainan ini diinspirasikan oleh mod permainan Warcraft 3 iaitu Pokemon Defence.

Paparan di dalam permainan – Sumber : Giant Bomb

Di dalam permainan ini, pemain akan bermain di papan catur tersendiri mereka dan menggunakan catur yang berasakan hero di dalam permainan Dota 2. Pemain boleh membeli catur-catur ini, meningkatkan taraf mereka dan mengawal kedudukan mereka di papan catur. Usai selesai, pemain akan dipadankan dengan salah satu daripada 7 lawan lainnya secara bergilir dan catur-catur ini akan bertarung dengan catur lawan secara automatik. Pemain terakhir yang hidup di dalam permainan ini akan diangkat sebagai pemenang perlawanan.

Walaupun baru sahaja dibangunkan pada awal tahun ini, Dota Auto Chess sudah menjadi popular sehingga mampu mencapai jumlah pemain serentak melebihi 200 ribu pada satu-satu masa. Ramai penstrim video juga telah mulai memainkan permainan ini akibat kepopularannya termasuklah mereka yang tidak bermain permainan Dota 2 seperti penstrim video Hearhstone, Overwatch dan juga League of Legends.

DAC juga telah menarik perhatian Tencent yang baru-baru ini mengeluarkan sebuah borang undi minat sekiranya permainan ini dihasilkan pada platform mudah alih. Apa yang menjadikan permainan ini popular adalah ia mempunyai pelbagai strategi dan kombinasi yang boleh dimainkan. Tidak seperti Dota 2, permainan ini juga tidak memerlukan anda mempunyai tindak balas yang pantas untuk bermain dengan baik.

Dota Auto Chess juga mempunyai ranking bagi pemain yang mahu membuktikan kehebatan mereka dan mata wang bagi pemain membeli kostum-kostum menarik. Memandangkan Dota 2 sendiri wujud dari permainan tersuai, pasti menarik untuk melihat kemajuan permainan ini. Tidak mustahil Valve sendiri akan melibatkan diri dengan pembangunan permainan ini memandangkan kepopularannya terutamanya dengan pihak ketiga seperti Tencent yang pantas berkeliaran mencuri idea.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments