Esukan

Apa Itu Boosting Di Dalam Permainan Dan Kenapa Ianya Dilarang?

2 tahun lalu

Apa Itu Boosting Di Dalam Permainan Dan Kenapa Ianya Dilarang?

Bagi permainan berbilang pemain dalam talian, tahap atau rating seseorang pemain itu adalah elemen paling penting bagi membolehkan persekitaran permainan yang adil dapat diwujudkan kepada semua pemain.

Dengan wujudnya rating ini, pemain akan dipadankan dengan pemain lain yang mempunyai rating dan skill yang setaraf. Rating ini pada kebiasaanya digelar sebagai MMR (Matchmaking Rating) ataupun Elo rating. Setiap kemenangan akan memberikan peningkatan terhadap rating pemain dan sebaliknya bagi setiap kekalahan. Setiap permainan juga mempunyai formula kiraan dan algoritma tersendiri bagi menentu nilai rating ini.

Oleh kerana kepentingannya, rating ini turut mendatangkan masalah tersendiri bagi sesebuah permainan iaitu Boosting. Sama ada untuk berlagak dengan rakan atau mahu merasai nikmat kehidupan di puncak papan pendahulu permainan, apa sahaja alasan disebaliknya, di dunia ini terdapat ramai orang yang mahu menipu di dalam permainan dalam talian. Permainan dalam talian boleh dikatakan mempunyai sistem sekuriti yang lebih baik berbanding permainan luar talian kerana kebanyakan kiraan data dilakukan di pelayan permainan itu menyebabkan tidak ramai memilih untuk menggodam ataupun menggunakan perisian penipuan.

Permainan dalam talian masa kini turut dilengkapi sistem anti penipuan seperti Valve Anti Cheat (VAC) dan BattlEye, menyebabkan ramai pihak takut untuk mengunakan aplikasi-aplikasi penipuan tersebut. Oleh sebab itu, mereka ini beralih ke pilihan seterusnya untuk menipu yang kurang berisiko iaitu Boosting. Boosting merujuk kepada perlakuan meningkatkan tahap atau rating sesebuah akaun itu menggunakan cara tidak adil atau haram.

Kebiasaanya ia dilakukan dengan memberikan akses akaun kepada pemain yang lebih berskill tinggi untuk mereka bermain akaun tersebut dan meningkatkan tahap ratingnya. Oleh kerana pemain berskill lebih tinggi tersebut kini bermain pada akaun di tahap yang lebih rendah, mereka akan berhadapan dengan pemain yang kurang berskill dan lebih mudah untuk memenangi perlawanan mereka membolehkan tahap rating akaun yang di beri pinjam tersebut ditingkatkan dengan pantas.

Ranking medal bermusim bagi permainan Dota 2 – Sumber : Wykrhm

Oleh kerana adanya permintaan, aktiviti ini kini mempunyai industrinya tersendiri dengan ramai pihak menjadikannya kerjaya mereka mewujudkan servis boosting dengan nilai bayaran tertentu. Walaupun aktiviti “meminjamkan” akaun ini kelihatan seperti ia tidaklah begitu teruk berbanding dengan aktiviti lain seperti penggodaman, ia tetap diharamkan dan dilarang untuk dilakukan.

Ini adalah kerana dengan aktiviti penipuan ini, akaun pemain kini tidak lagi berada di tahap sebenar mereka menyebabkan persekitaran permainan yang adil kini tidak lagi dapat diadakan. Pemain di tahap rendah terpaksa berhadapan dengan pemain di tahap tinggi manakala pemain di tahap tinggi kini mempunyai rakan sepasukan yang tidak mempunyai skill untuk bermain di tahap tersebut kerana akaun mereka di-boost. Secara keseluruhannya ini akan menyebabkan pengalaman bermain yang teruk terhasil dan merosakan integriti permainan.

Oleh kerana isu ini semakin berleluasa, kebanyakan permainan juga kini mempunyai peraturan khas berkaitan aktiviti ini. Sekiranya ditangkap, akaun pemain akan digantung sama ada sementara mahupun kekal selamanya. Di Korea Selatan, aktiviti ini juga telah dikategorikan sebagai jenayah dengan mereka yang bersalah kini akan didenda dan boleh dipenjara.

Peraturan berkaitan aktiviti boosting bagi permainan League of Legends - Sumber : Riot Games
Peraturan berkaitan aktiviti boosting bagi permainan League of Legends – Sumber : Riot Games
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments