Esukan

Kesatuan Esukan Jepun Mahu Turut Serta Di Acara Olimpik Tokyo 2020

2 tahun lalu

Kesatuan Esukan Jepun Mahu Turut Serta Di Acara Olimpik Tokyo 2020

Kebelakangan ini usaha untuk menambah masuk acara esukan sebagai acara rasmi di temasya sukan tradisional seperti Sukan Asia dan Sukan Olimpik telah dilakukan oleh pelbagai pihak.

Sukan Asia 2018 di Jakarta-Palembang sendiri telah menambah acara esukan sebagai sukan demonstrasi dan usaha untuk menjadikannya sebagai acara berpingat di Sukan Asia 2022 juga sedang dipertimbangkan. Bagi sukan Olimpik pula, walaupun usaha untuk menambah masuk acara esukan telah diadakan, pihak Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) masih menganggap usaha ini sebagai pramatang dan menegaskan bahawa unsur keganasan yang terdapat di dalam permainan esukan adalah bertentangan dengan prinsip penganjuran sukan Olimpik.

Walaupun esukan sebagai acara berpingat di Olimpik masih kelihatan jauh dari kenyataan, ini tidak menghalang Kesatuan Esukan Jepun (Japan Esports Union – JESU) dari memperkuatkan usaha untuk mengembangkan esukan di negara tersebut agar ia dapat dijadikan sebagai acara pameran di temasya Olimpik Tokyo 2020.

Pihak JESU mahu esukan segera di iktiraf secara rasmi di Jepun agar peluang mereka untuk menyertai temasya Olimpik tersebut semakin cerah. Pihak JESU akan membina cawangan di 11 daerah di seluruh negara tersebut bagi meningkatkan usaha mendidik dan melatih penganjuran acara esukan.

Walaupun terkenal dengan pemain dari genre pertarungan, industri esukan di negara tersebut boleh dikatakan agak kecil berbanding negara lain di sekitarnya seperti Korea Selatan dan China. Perkara ini juga adalah disebabkan oleh undang-undang perjudian yang ketat berkaitan dengan pemberian hadiah di negara tersebut membantutkan penganjuran kejohanan esukan di negara tersebut.

Pasaran esukan Jepun bagaimanapun meningkat naik pada tahun ini dengan nilai mencapai USD42.5 juta. Oleh yang demikian, pihak JESU mahu para pemain mereka lebih terbiasa dengan acara-acara esukan agar bakat-bakat tempatan dapat dicungkil dan dihantar menyertai kejohanan antarabangsa. Temasya Olimpik dilihat sebagai pentas terbaik untuk mendedahkan esukan kepada lebih ramai pihak umum.

Sumber : Fox Sports Asia

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments