Liga Overwatch

Segalanya Tentang Liga Overwatch Musim Ke-2

2 tahun lalu

Segalanya Tentang Liga Overwatch Musim Ke-2

Hari Valentine tahun 2019, 14 Februari (15 Februari +8 GMT) akan menjadi titik mulanya musim kedua bagi Liga Overwatch. Berbanding dengan 12 pasukan bertanding bagi edisi sulung, musim kedua ini akan mempunyai 8 pasukan tambahan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 20 pasukan.

Berikut adalah senarai pasukan bertanding pada musim kedua dengan nama pasukan baharu ditebalkan:

Divisyen Atlantik:

  • Atlanta Reign (USA)
  • Boston Uprising (USA)
  • Florida Mayhem (USA)
  • Houston Outlaws (USA)
  • London Spitfire (UK)
  • New York Excelsior (USA)
  • Paris Eternal (Perancis)
  • Philadelphia Fusion (USA)
  • Toronto Defiant (Kanada)
  • Washington Justice (USA)

Divisyen Pasifik:

  • Chengdu Hunters (China)
  • Dallas Fuel (USA)
  • Guangzhou Charge (China)
  • Hangzhou Spark (China)
  • Los Angeles Gladiator (USA)
  • Los Angeles Valiant (USA)
  • San Francisco Shock (USA)
  • Seoul Dynasty (Korea Selatan)
  • Shanghai Dragons (China)
  • Vancouver Titans  (Kanada)

Seperti mana edisi sulung sebelum ini, liga akan dibahagiakan kepada musim utama yang mengandungi empat tahap dan pasca musim dimana berlangsungnya pusingan kalah mati liga. 

Perlawanan Akhir Musim Pertama – Sumber : Blizzard

Musim Utama

Musim utama liga akan bermula pada 15 Februari waktu Malaysia dengan ulangan perlawanan akhir musim sulung iaitu antara Philadelphia Fusion menentang London Spitfire. Musim utama akan dibahagikan kepada empat tahap dengan setiap tahap memiliki 5 minggu kompetitif.

Setiap pasukan akan mempunyai 28 perlawanan bagi musim utama berbanding dengan 40 pada musim sebelum ini. Walaupun jumlah ini berkurangan, liga masih akan berlangsung meriah memandangkan terdapat 8 pasukan baharu mengisi kekosongan tersebut. Bagi setiap minggu juga, perlawanan kini akan diadakan bermula pada hari Khamis sehinggalah Ahad.

Jadual lengkap setiap tahap dan perlawanan boleh dilihat di pautan ini.

Jumlah peta yang boleh dipilih pada musim kedua ini telah ditambah kepada 12 peta. Berikut adalah senarai peta bagi tahap pertama:

12 peta untuk tahap pertama liga

Untuk musim ini juga, Blizzard akan mulai menguji format perlawanan tuan-rumah dan lawan. Tiga pasukan telah dipilih sebagai peneraju ujian ini iaitu pasukan Dallas Fuel, Atlanta Reign dan Los Angeles Valiant. Mereka akan menjadi tuan rumah dan menganjurkan perlawanan di arena mereka sendiri.

Bagi pasukan Dallas Fuel, ia akan diadakan di Allen Event Center di North Texas pada 28-29 April melibatkan pasukan Chengdu Hunters, Hangzhou Spark, Houston Outlaws, London Spitfire, Paris Eternal, Los Angeles Valiant dan Seoul Dynasty. Bagi pasukan Atlanta Reign pula, lokasi arena mereka masih lagi belum diumumkan dan melibatkan Florida Mayhem, Guangzhou Charge, New York Excelsior, Philadelphia Fusion, Shanghai Dragons, Toronto Defiant dan Washington Justice. Ia akan berlangsung pada 7-8 Julai.

Sementara itu, bagi LA Valiant, ia akan diadakan di arena The Novo oleh Microsoft di Los Angeles pada 25-26 Ogos Julai melibatkan Atlanta Reign, Boston Uprising, Dallas Fuel, Hangzhou Spark, Los Angeles Gladiators, New York Excelsior, Vancouver Titans, San Francisco Shock dan Shanghai Dragons.

Pusingan akhir tahap akan diadakan selepas tamatnya tahap 1, 2 dan 3. Sebanyak 8 pasukan akan mara ke pusingan ini. Dua slot pertama akan diberikan kepada pasukan teratas di kedua-dua divisyen Atlantik dan Pasifik. Baki 6 slot pula akan diberikan kepada 6 pasukan terbaik di papan pendahulu liga tanpa mengira divisyen.

Bagi musim kedua, jumlah hadiah yang disediakan telah ditambah daripada USD3.5 juta kepada USD5 juta. Berikut adalah pembahagian hadiah bagi setiap tahap musim utama:

Pusingan akhir tahap:

  • Juara : USD200,000
  • Kedua : USD100,000
  • Ketiga/Keempat : USD50,000/pasukan
  • Kelima-Kelapan : USD25,000/pasuka

Pasca Musim

Selepas tamatnya tahap ke-empat, 8 pasukan akan mara ke pusingan kalah-mati liga bagi menentukan juara keseluruhan liga. 2 slot akan diberikan kepada pasukan teratas di kedua-dua divisyen. 4 pasukan akan terbaik selepas itu di papan pendahulu liga akan layak secara automatik. Baki 2 slot pula akan dipertandingan menerusi pusingan play-in. Pusingan play-in ini akan disertai oleh pasukan yang berada di kedudukan ketujuh sehingga kedua-belas di papan pendahulu liga.

Berikut adalah pembahagian hadiah bagi pusingan kalah-mati liga:

  • Juara : USD1.1 Juta
  • Kedua : USD600,000
  • Ketiga : USD450,000
  • Ke-empat : USD350,000
  • Kelima/Keenam : USD300,000/pasukan
  • Ketujuh/Kelapan : USD200,000/pasukan

Perlawanan All-Star

Berbeza dengan musim pertama, perlawanan All-Star bagi musim kedua tidak akan diadakan di penghujung musim. Perlawanan ini akan diadakan tahap 2 dan tahap 3.

Kesemua perlawanan dan acara Liga Overwatch akan disiarkan secara langsung menerusi overwatchleague.com, aplikasi Liga Overwatch, Twitch, MLG.com dan aplikasi MLG. Sebahagian perlawanan juga akan disiarkan di saluran televisyen ESPN, Disney XD dan ABC.

Liga Overwatch S2
Logo Setiap Pasukan Liga Overwatch Musim Kedua.
guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments