Riot Games

Pegawai Eksekutif Riot Games Digantung Kerja Selepas Tuduhan Salah Laku Di Tempat Kerja

2 tahun lalu

Pegawai Eksekutif Riot Games Digantung Kerja Selepas Tuduhan Salah Laku Di Tempat Kerja

Beberapa bulan lalu Riot Games didedahkan mempunyai pelbagai masalah di pejabat mereka kerana amalan budaya-budaya negatif seperti seksisme, misogini dan homofobia.

Terkini ketua pegawai operasi (COO) syarikat tersebut, Scott Gelb dilaporkan telah digantung tugas selama dua bulan tanpa gaji berikutan beberapa tuduhan ke atas beliau seperti bergurau dengan menyentuh alat sulit rakan sekerja, punggung mereka dan malah kentut di muka mereka.

CEO Riot Games, Nicolo Laurent dilaporkan telah menghantar email kepada semua pekerja mereka memaklumkan keputusan itu. Selain daripada pengantungan tugas, Scott Gelb juga akan dihantar untuk latihan yang tidak diumumkan perinciannya.

Di dalam email tersebut juga didedahkan bahawa siasatan ke atas Scott telah dilakukan oleh firma guaman Seyfarth Shaw yang diselia oleh barisan lembaga pengarah syarikat itu. Walauupun begitu, siasatan ini memutuskan bahawa Scott akan kembali semula selepas menerima hukuman tersebut.

Laurent turut memperlihatkan sokongan terhadap Scott, dengan berkata bahawa kebanyakan tuduhan yang diberikan kepada Scott adalah tidak benar. Ini menyebabkan ramai pihak terutamanya pekerja syarikat tersebut yang merasakan hukuman tersebut adalah tidak cukup dan sokongan terhadap Scott adalah tidak wajar.

Ramai kini merasakan bahawa usaha Riot Games untuk menyelesaikan masalah ini adalah hanya lakonan sahaja. Mereka lebih mementingkan rakan mereka berbanding dengan masalah yang berada di syarikat tersebut dan para pekerja mereka. Ramai berpendapat bahawa dengan melakukan salah laku seksual secara berulangan, beliau wajar diberhentikan dari posisi beliau.

Sumber : Kotaku

Tinggalkan komen

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *