Artifact

Kemaskini Artifact 1.1 Membawakan Chat Wheel, Dek Baharu Dan Kejohanan Terbuka

2 tahun lalu

Kemaskini Artifact 1.1 Membawakan Chat Wheel, Dek Baharu Dan Kejohanan Terbuka

Artifact menafikan ajal? Kemaskini pertama Artifact hadir hari ini dengan beberapa penambahan baharu kepada permain itu. Versi 1.1 membawakan dua dek baharu bagi acara permainan Call to Arms iaitu dek “Death From Above” yang memfokuskan kepada penggunakan kad mantera bagi menewaskan lawan dan dek “Dark Aggro” yang memfokuskan kepada kad agresif yang mampu mengambil kesempatan diatas kesemua kesilapan lawan.

Call To Arms juga kini disertakan dengan papan pendahulu bagi membolehkan pemain mengukur kehebatan masing-masing. Papan pendahulu ini mempunyai dua bahagian iaitu bagi pemain global dan rakan-rakan. Papan pendahulu ini juga akan diset semula setiap dua minggu.

Perkara kedua yang hadir pada kemaskini ini adalah kejohanan terbuka, kejohanan automatik berdurasi singkat yang boleh disertai umum. Kejohanan terbuka ini mempunyai tiga mod iaitu Automated, Pauper dan Free For All. Automated adalah kejohanan dimana pemain hanya perlu mengklik satu butang untuk menyertainya dan terus bermain tanpa perlu menetapkan apa-apa tetapan.

Bagi mod kejohanan Pauper pula, ia hadir dengan cabaran hanya bermain dengan dek kad bertaraf biasa (common) sahaja. Namun begitu, pemain bebas untuk menukar dek bagi setiap perlawanan. Mod terakhir Free For All pula memberikan pemain tempoh masa 3 jam untuk bertarung sebanyak mungkin. Selepas tempoh tersebut tamat, pemain dengan kemenangan terbanyak akan menjadi juara.

Artifact 1.1 juga hadir dengan fungsi bualan dimana ia direka serupa dengan roda bualan bagi permainan Dota 2. Roda ini mengandungi ucapan pramuat dan juga boleh ditambah dengan ucapan tersendiri pemain. Ucapan ini adalah berdasarkan kad dan oleh sebab itu setiap kad mempunyai efek dan ucapan unik. Bagi yang tidak berminat atau mempunyai pihak lawan yang toksik, fungsi ini boleh dimatikan dengan mudah.

Akhir sekali, kemaskini ini hadir dengan cabaran “Bot Gauntlet” dimana pemain boleh bertarung dengan dek yang dikendalikan oleh AI. Pemain akan menyahkunci dek seterusnya selepas menewaskan bot ini. Secara keseluruhan, terdapat 24 dek yang oleh dimainkan pada cabaran ini.

Selain daripada penambahan-penambahan ini, pihak pembangun juga telah melakukan penambahbaikan di belakang tabir dengan memusnahkan pepijat dan juga menambah masuk tetapan bagi pengguna buta warna.

Pihak pembangun Artifact dalam masa yang sama turut mengumumkan bahawa mereka sedang bekerja keras bagi mmebawakan kemaskini seterusnya. Kemaskini yang dijangka akan dilancarkan pada minggu hadapan ini akan hadir dengan fokus kepada sistem kemajuan berasakan skill. Ini berkemungkinan membawakan papan pendahulu MMR yang diminta ramai. Dengan ini juga, pemain akan mempunyai insentif untuk terus kekal bermain.