League of Legends

Perlawanan Akhir League of Legends Worlds 2018 Ditonton Hampir 100 Juta Penonton

3 tahun lalu

Perlawanan Akhir League of Legends Worlds 2018 Ditonton Hampir 100 Juta Penonton

Pada 3 November yang lalu, pasukan Invictus Gaming mencipta sejarah apabila menjadi pasukan China pertama merangkul gelaran juara kejohanan League of Legends World Championship.

Selepas lebih sebulan berlalu, Riot Games kini telah berkongsikan statistik berkaitan dengan acara perlawanan akhir diantara Invictus Gaming menentang Fnatic dan juga statistik acara lain pada tahun 2018 seperti Worlds 2018 secara keseluruhannya dan juga Mid-Season Invitational 2018.

Bagi perlawanan akhir Worlds 2018 yang berlangsng di Stadium Munhak, Incehon, Korea Selatan, siaran langsung acara tersebut memperoleh 99.6 juta penonton unik. Perlawanan yang berakhir dengan keputusan 3-0 memihak kepada Invicts Gaming itu turut berjaya mencatatkan rekod penonton serentak sebanyak 44 juta orang penonton.

Ini adalah jauh lebih banyak berbanding dengan perlawanan akhir edisi tahun 2017 yang hanya berjaya mencatatkan 57.6 juta penonton unik dan jumlah penonton tertinggi di acara Worlds 2017 iaitu perlawanan suku akhir diantara SKT T1 dan RNG yang mencatatkan 80 juta penonton unik.

Perlawanan akhir Worlds 2018 juga disiarkan dalam 19 bahasa berbeza di 30 platform seperti Twitch, Youtube, Naver, DouyuTV dan siaran di televisyen seperti saluran ESPN. Riot Games turut berkongsikan statistik mengenai dua lagu yang dicipta untuk Worlds 2018 iaitu lagu tema RISE! dan lagu POP/STARS oleh K/DA. POP/STARS berjaya memperoleh 242.8 juta jumlah strim video dan muzik manakala RISE! berjaya meperoleh 143.7 juta strim video dan muzik.

Acara Mid-Seasonal Invitational 2018 yang berlangsung pada bulan Mei juga tidak kurang hebat apabila berjaya mencatatkan jumlah penonton unik tertinggi sebanyak 60 juta orang. Perlawanan akhir antara Royal Never Give Up dan King-Zone Dragon mencatatkan jumlah tontonan serentak menghampiri nilai 20 juta orang. 

Walaupun Riot Games pada tahun ini terlibat dengan beberapa kontroversi besar, nilai statistik ini memperlihatkan bahawa permainan League of Legends masih lagi merupakan esukan paling popular di dunia pada ketika ini. Dengan takhta pasukan dari Korea Selatan kini telah ditumbangkan, arena kompetitif permainan League of Legends kini lebih menarik berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Sumber : Riot Games