Esukan

Anugerah Esukan 2018 – META.MY

2 tahun lalu

Anugerah Esukan 2018 – META.MY

Memandangkan beberapa anugerah berkaitan esukan dan permainan telah berlangsung menjelang berakhirnya tahun 2018 ini, kami di META.MY juga tidak mahu ketinggalan mewujudkan anugerah esukan tersendiri kami. Oleh yang demikian, kami dengan terujanya, kini memperkenalkan Anugerah Esukan 2018 – META.MY.

Anugerah ini tidak mempunyai sebarang pencalonan dan semua kategori dianugerahkan pemenangnya berdasarkan bias dan pengetahuan terhad penulis terhadap arena esukan tempatan dan antarabangsa. Penulis tidak mampu mengikuti semua jenis dan kategori esukan terutamanya bagi platform konsol, genre pertarungan, kad digital dan lain-lain lagi. Chill okay. Bagi setiap pemenang, selain daripada gelaran khas sebagai pemenang, anda akan (*telah) diberikan tepukan penuh bersemangat oleh penulis. Tahniah!

Permainan Esukan Terbaik / Best Esports Game

Permainan Esukan Terbaik : League of Legends

Secara keseluruhannya, sisi kompetitif League of Legends pada tahun ini kekal berlangsung dengan baik di peringkat global. Dengan satu persatu liga rantau mulai bertukar kepada sistem francais yang menjanjikan kestabilan kepada pemain, pasukan dan liga itu sendiri, permainan ini berada di landasan yang baik untuk terus mendominasi arena esukan antarabangsa.

Permainan Esukan Mudah Alih Terbaik : Mobile Legends

Mengetepikan isu hakcipta, Mobile Legends dengan pelaksanaan Mobile Legends Profesional League MY/SG, membuktikan bahawa esukan bagi peranti mudah alih mampu dilakukan dengan baik. Liga tersebut berlangsung meriah, menerima respon yang amat memberangsangkan dari komuniti, mempunyai jumlah tontonan yang baik dan menarik ramai penaja bagi kejohanan dan pasukan. 

Pemain Esukan Terbaik : Jian “Uzi” Zi-Hao (League of Legends – Royal Never Give Up)

Walaupun menamatkan kejohanan terakhir pada musim ini iaitu LoL World Championship di tempat ke-5/8, pemain AD Carry bagi pasukan Royal Never Give Up ini menjalani musim kompetitif tahun ini dengan cemerlang, membantu pasukannya menjuarai pelbagai kejohanan dan liga seperti LPL Spring 2018, Mid-Season Invitational 2018, Rift Rival 2018, Sukan Asia 2018 dan LPL Summer 2018. Pemain berusia 21 tahun ini juga digelar ramai sebagai salah seorang pemain AD Carry terbaik pada ketika ini.

Pemain Esukan Tempatan Terbaik : Yeik “MidOne” Nai Zheng (Dota 2 – Team Secret)

Bermain di Eropah bersama dengan pasukan Secret, pemain kelahiran Perak ini menamatkan musim kompetiitf Dota 2 bagi tahun 2017/2018 dengan beberapa pencapaian hebat seperti menjuarai kejohanan major DreamLeague 8, kejohanan minor DreamLeague dan Captains Draft 4.0. Disamping Xnova, beliau merupakan antara pemain Malaysia yang kekal mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat antarabangsa dengan kerap.

Pasukan Esukan Terbaik : Virtus Pro (Dota 2)

Sepanjang musim berada di puncak, pasukan ini sentiasa mempamerkan prestasi cemerlang menjadikan mereka antara pasukan paling stabil di arena kompetitif Dota 2. Apa yang tinggal bagi pasukan ini hanyalah sumpahan mereka, iaitu gelaran juara bagi piala terulung Dota 2, Aegis of Champions.

Pasukan Esukan Tempatan Terbaik : AirAsia Saiyan (Mobile Legends)

Bagi musim kedua Mobile Legends Profesional League MY/SG, pasukan ini memenangi 14 daripada 21 siri perlawanan di musim tetap, memastikan Malaysia mempunyai wakil di dalam senarai 3 terbaik di papan pendahulu liga. Di pusingan kalah mati, pasukan ini menamatkan musim di tempat ke-4, apabila tewas kepada juara keseluruhan, Saiyan Reborn. Bagi musim akan datang, agak menarik untuk melihat sama ada pasukan ini akan terus kekal berada di puncak apabila para pemain asal mereka kini telah meninggalkan pasukan.

Pemain Esukan Baharu Terbaik : Sung-hyeon “JJoNak” Bang (Overwatch League – NYXL)

Baru berusia 18 tahun, pemain pasukan New York Excelsior ini merupakan antara tungak utama pasukan tersebut, membantu mereka mendominasi musim pertama Liga Overwatch. Beliau juga diangkat sebagai pemain terbaik Liga Overwatch (T-Mobile OWL MVP Award) dan pemain terbaik bagi Overwatch World Cup 2018, perhargaan kepada kepentingan beliau di dalam pasukan.

Pemain Esukan Baharu Tempatan Terbaik : Mohd Faris ‘Soloz’ Zakaria (Mobile Legends – Team Bosskur)

Sewaktu bermain di bawah AirAsia Saiyan, Soloz mempamerkan prestasi yang cemerlang sepanjang musim, menjadi sumber serangan utama pasukan. Bagi musim tetap, beliau mengumpul 98 kills, ketiga terbanyak di liga. Secara keseluruhannya, beliau menjalankan tugas yang baik sebagai carry pasukan, membantu mereka kekal di kedudukan antara teratas sepanjang musim.

Organisasi Esukan Terbaik : Cloud9

Dengan pasukan London Spitfire menjuarai musim sulung Liga Overwatch, pasukan League of Legends menjadi harapan terakhir Amerika Utara di LoL Worlds, tahun 2018 merupakan tahun yang baik bagi organisasi ini. Pasukan-pasukan bagi permainan lain di bawah mereka juga tidak kurang hebat menjadikan mereka pilihan yang tepat untuk diangkat sebagai organisasi terbaik esukan bagi tahun ini.

Organisasi Esukan Tempatan Terbaik : Flash Vision

Bermula sebagai organisasi yang memfokuskan kepada permainan bergenre pertarungan, pada tahun 2018, Flash Vision aktif merekrut pemain dan pasukan-pasukan baharu bagi pelbagai permainan seperti Hearthstone, Mobile Legends, PUBG dan Dota 2. Flash Vision juga merekrut Muhammad Adam (SuperJunior), pemain berumur 10 tahun, sebagai pemain baharu skuad permainan bergenre pertarungan mereka. Mereka juga aktif menganjurkan pelbagai kejohanan, memeriahkan lagi arena esukan tempatan.

Rakan Komersial Esukan Tempatan Terbaik : AirAsia & Umobile

Mempunyai kelab esukan tersendiri, AirAsia aktif menghantar wakil mereka menyertai kejohanan amatur. Syarikat penerbangan ini juga aktif menaja pasukan dan kejohanan esukan tempatan sepanjang tahun ini. Bagi Umobile pula, pewpewpew Pepega GX50 Pepega.

Platform Penstriman Terbaik : Twitch

Menyokong mod picture-in-picture, membantu penulis yang hanya mempunyai sebuah peranti komputer riba, menonton kejohanan esukan sambil melakukan perkara lainnya.

Acara Esukan Terbaik : The International 2018

Kejohanan The International 2018 merupakan antara edisi terbaik pernah dilangsungkan dengan ramai peminat kini meletakkannya sebagai edisi terbaik mengatasi The International 2013. Pertama kali di adakan di Kanada, kejohanan ini berlangsung meriah penuh dengan momen-momen yang tidak dijangkakan. 

Acara Esukan Tempatan Terbaik : Mobile Legends Profesional League MY/SG S2 Finals

Pengakhiran kepada Liga Profesional Mobile Legends MY/SG musim kedua berlangsung meriah di Paradign Mall dihadiri ribuan peminat. Walaupun prestasi mereka di musim tetap tidak begitu menakjubkan, pasukan Saiyan Reborn bangkit di acara ini untuk menjadi juara keseluruhan liga. MPL sendiri sebagai liga berjalan dengan jaya dan berpotensi untuk menjadi acara berprestij tinggi di negara ini.

Momen Esukan Terbaik : OG Menjuarai The International 2018 / Invictus Gaming Menjuarai Worlds 2018

Kisah jalan cerita pasukan juara kejohanan The International 2018, OG yang amat menarik, dihiasai pengkhianatan, balas dendam, tradisi giliran timur-barat yang kini berakhir, amat mengagumkan menjadikan ia layak digelar sebagai salah satu momen esukan terbaik tahun ini. Daripada diletakkan sebagai pasukan paling lemah pada kejohanan tersebut, mereka menafikan segala rintangan dan akhirnya menjulang Aegis of Champions.

Walaupun pusingan kalah mati kejohanan League of Legends World Championship 2018 berlangsung dengan agak membosankan dengan kebanyakan perlawanan berakhir dengan dominasi sesebuah pasukan, kemenangan pasukan Invictus Gaming keatas Fnatic mencipta sejarah baharu, mengukir nama organisasi tersebut sebagai satu-satunya pasukan dari China yang pernah menjulang Summoner’s Cup dan satu-satunya organisasi di dunia yang pernah menjulang kedua-dua Summoner’s Cup bagi League of Legends dan Aegis of Champions dari permainan Dota 2.