Kenali Artifact – Bahagian 2 : Papan Permainan
Artikel ini adalah termasuk di bawah siri Kenali Artifact.
Artifact berada di alam semesta yang sama dengan Dota 2, oleh yang demikian ia berkongsikan pelbagai elemen yang sama seperti papan permainan yang mewakili tiga lorong untuk dimainkan, menara dan ancient untuk dimusnahkan dan pihak Dire dan Radiant untuk diwakili.
Kedua-dua pemain mempunyai papan permainan yang sama, dengan visual berbeza dimana pihak yang memilih Radiant akan mempunyai visual cerah kehijauan manakala pihak Dire mempunyai visual gelap kemerahan. Berikut adalah elemen yang terdapat di papan permainan Artifact dan ringkasan mengenainya.
Lorong.
Artifact mempunyai tiga lorong, setiap satu mempunyai papan permainan tersendiri. Ia dimainkan dari kiri ke kanan. Walaupun ia dimainkan satu persatu dari kiri ke kanan, terdapat elemen dan mekanik yang membenarkan aksi di papan semasa mempengaruhi papan lainnya.

Papan Permainan

Ringkasan Lorong dan Fountain
Di papan permainan, di bahagian kiri atas skrin, maklumat ringkas mengenai status setiap lorong ada dipaparkan. Di bahagian yang sama juga, terdapat paparan bagi Fountain, tempat dimana terletaknya hero yang mati atau ditarik kembali oleh pemain. Lorong yang sedang aktif dan fasa pemainan juga dipaparkan di bahagian ini.

Papan Pemuka
Dibahagian bawah skrin, terletaknya semua elemen milik pemain seperti kad di tangan, jumlah mana, status menara, status masa, jumlah emas dan butang aksi.
