Riot Games

Riot Games Disaman Berikut Kes Diskriminasi Jantina

3 tahun lalu

Riot Games Disaman Berikut Kes Diskriminasi Jantina

Pada bulan Ogos lalu, Riot Games telah dituduh mengamalkan diskriminasi jantina menerusi laporan yang dikeluarkan oleh laman web Kotaku.

Tidak lama selepas itu, pembangun bagi permainan League of Legends itu tampil mengakui mereka mempunyai masalah di dalam syarikat itu dan mendedahkan perancangan mereka bagi memperbaikinya. Hari ini, Kotaku sekali lagi tampil melaporkan bahawa seorang pekerja semasa dan seorang bekas pekerja syarikat itu telah memfailkan saman tindakan kelas berkaitan dengan isu diskriminasi jantina tersebut.

Menurut fail saman tersebut, sepertimana ramai pekerja wanita lainnya, plaintif telah dinafikan hak untuk menerima gaji yang setanding dengan pekerja lelaki dan menerima layanan berbeza hanya kerana mereka adalah wanita. Oleh yang demikian, plaintif meminta pampasan gaji yang tidak dibayar, ganti rugi dan penalti lainnya dalam nilai yang akan ditentukan di perbicaraan.

Jessica Negron, salah seorang plaintif dan sumber kepada laporan Kotaku sebelum ini berkata bahawa selepas beliau diambil bekerja, beliau telah diarahkan untuk melaksanakan tugas pengurus beliau yang telah meletak jawatan, tanpa sebarang pampasan mahupun gelaran rasmi. Seorang lagi plaintif,  Melanie McCracken mendakwa telah dinafikan kenaikkan pangkat, didenda oleh pekerja atasan lelaki lainnya kerana budaya diskriminasi ini.

Menurut beliau lagi, pejabat sumber manusia di Riot Games juga gagal memastikan bahawa rungutan yang diterima dirahsiakan selepas beliau memfailkan rungutan rasmi. Perkara itu dimaklumkan kepada pihak yang terlibat menyebabkan beliau diarahkan untuk mencari posisi baharu atau dipecat.

Riot Games pada ketika ini masih tidak memberikan sebarang kenyataan bagi kes ini. Bagi anda yang mahu membaca fail saman ini, ia boleh diakses di pautan ini.

Sumber : Kotaku