Dota 2

Kontroversi Scantzor, Mineski, Entity Gaming Dan Kegagalan GESC Tunai Bayaran

2 tahun lalu

Kontroversi Scantzor, Mineski, Entity Gaming Dan Kegagalan GESC Tunai Bayaran

Dikala para pemain menanti-nanti kemaskini 7.20 untuk hadir, kontroversi melanda dunia Dota 2 apabila Anthony “Scantzor” Hodgson, jurulatih Dota 2, penganalisis dan konsultan esukan berkongsikan pengalaman buruk beliau sepanjang bekerja dengan Mineski, Entity Gaming dan GESC.

Melalui perkongsian di laman Medium beliau, Scantzor memulakan kisah beliau bersama dengan Entity Gaming dimana beliau mulai bekerja bersama mereka pada Jun 2018  sehingga  Oktober 2018. Menurut beliau, kira-kira dua minggu lalu, beliauu dan para pemain pasukan Dota 2 telah diberhentikan secara tiba-tiba. Pengurusan menyatakan bahawa keputusan ini adalah akibat daripada prestasi teruuk pasukan itu dan perbelanjaan yang terlalu tinggi untuk mereka tampung.

Ini adalah selepas dua bulan berlalu daripada kontrak satu tahun yang ditandatangani mereka. Pihak pengurusan juga menegaskan bahawa mereka tidak layak menerima pampasan kerana tidak bersama dengan syarikat dalam tempoh masa yang lama. Scantzor juga bekerja menggunakan visa pelancongan menjadikan isu ini lebih rumit lagi. Beberapa isu lain turut dibangkitkan dan perkara ini dipersetujui oleh para pemain yang dilepaskan seperti Yang “Deth” Wu Heng (Dethsama) dan Phuc “Lordboonz” Nguyen.

Pengurus pasukan Entity Gaming bagaimanapun menafikan sebarang pertuduhan ini di laman reddit dan  menyatakan bahawa Scantzor cuba mensabotaj pemain pasukan (perkara ini dinafikan oleh Deth dalam post reddit yang sama) dan kontrak yang ditandatangai adalah ditepati. Selepas itu Scantzor meneruskan perkongsian beliau mengenai GESC dan Mineski. Semasa bekerja bersama Mineski, beliau merasa budaya bekerja di syarikat terbabit amat teruk menyerupai sebuah cult. Para pekerja dilarang berkomunikasi bersama para pekerja syarikat lain seperti TNC dan Fallout Gaming (kini dikenali sebagai The Gaming Co). Beliau pernah didenda selepas keluar makan malam bersama pekerja Fallout Gaming.

Menurutnya lagi, semasa awal pekerjaan beliau bersama Mineski, beliau dilayan baik kerana memberikan keputusan yang positif sebagai jurulatih. Namun selepas musim baharu tiba, beliau kemudiannya dipindahkan ke pasukan kedua iaitu Happyfeet selepas Mineski mempunyai jurulatih yang baharu. Akibat daripada kekangan bahasa dan sikap pemain, beliau gagal mempamerkan keputusan yang baik dan semakin dilayan teruk oleh kerana itu.

Baca Juga :   Sydney Menjadi Tuan Rumah Rift Rivals: Pacific Rift 2018

Kontrak beliau juga tidak dihitam putihkan kerana pihak Mineski tidak bersungguh dalam menyiapkannya. Beliau turut berkongsikan bahawa terdapat pemain pasukan HappyFeet dibayar gaji sebesar USD150 (~RM627) sebulan, jauh lebih rendah dari gaji minimum biasa. Beliau akhirnya dilepaskan dan diarahkan keluar dari penginapan dalam masa 24 jam selepas HappyFeet dibubarkan dan pihak Mineski menyatakan tiada lagi tempat untuk beliau.

Bagi Global Electronic Sports Championship (GESC) pula, selepas melangsungkan dua acara DPC pada musim lalu iaitu GESC Minor Thailand dan GESC Minor Jakarta, syarikat tersebut didapati gagal melunaskan bayaran kepada para pemenang, para pekerja dan personaliti yang terlibat. Matthew “Cyborgmatt” Bailey, pengurus pasukan Secret juga telah mengeluarkan surat terbuka kepada Valve mewakili pasukan, pemain, personaliti dan agaensi yang terlibat di dalam kejohanan GESC bagi menuntut bayaran mereka sekitar USD750,000 keseluruhannya.

Menurut Scantzor, kegagalan ini adalah berpunca daripada pihak pelabur yang tidak menunaikan janji menyebabkan GESC gagal melunaskan bayaran mereka. Beliau menyatakan bahawa CEO GESC, Oskar Feng merupakan individu yang baik, serius dalam usaha beliau mewujudkan siri kejohanan esukan yang baik di Asia Tenggara dan yakin bahawa beliau bukan sengaja tidak  menunaikan bayaran cuma tidak mampu kerana masalah pelabur yang tidak menepati janji. Oleh yang demikian, isu ini adalah penting menurut belia kerana masalah ini menunjukkan bahawa arena esukan di Asia Tenggara amat berisiko dan mempunyai pelbagai masalah.

Valve pada masa ini masih belum mengeluarkan sebarang respon mengenai isu ini. Pihak Mineski dan GESC juga masih bersenyap diri mengenai pertuduhan dan masalah yang diutarakan. Pelbagai masalah ini memperlihatkan betapa lemahnya arena esukan tempatan di Asia Tenggara dan berapa ramainya pihak yang cuba mengambil kesempatan di dalam arena yangs sedang pesat membangun ini. Ini juga bukan kali pertama kejohanan di Asia Tenggara gagal menunaikan bayaran. Jika perkara ini berterusan, pasukan antaranbangsa dan pelabur mungkin akan berfikir dua kali sebelum menyertai kejohanan di  rantau ini yang pasti merugikan pembangunan esukan tempatan.

Sumber : Scantzor (Medium), Reddit, Cyborgmatt (dota.gg)

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments