Fortnite

Epic Games Mengumumkan In-Game Tournaments – Kejohanan Dalam Talian Untuk Semua

3 tahun lalu

Epic Games Mengumumkan In-Game Tournaments – Kejohanan Dalam Talian Untuk Semua

Sisi kompetitif merupakan sebuah aspek yang penting di dalam permainan masa kini. Berbeza dengan kejohanan profesional, beberapa permainan hadir dengan mod permainan kompetitif dalam talian yang terbuka kepada semua pemain. Dota 2 mempunyai kejohanan mingguan Battle Cup, League of Legends hadir dengan Clash dan kini, Fortnite Battle Royale memperkenalkan In-game Tournaments.

Mod permainan baharu ini hadir pada kemaskini 6.10 membolehkan kesemua pemain bertanding di dalam siri kejohanan dalam talian bagi memperoleh pin pencapaian dan hadiah. Berbeza dengan mod permainan berasaskan kejohanan, mod permainan kompetitif ini adalah berasaskan mata. Pemain bebas untuk bermain pada jangka masa yang disediakan bagi mengumpul sebanyak mungkin mata. Pemadan pemain akan meletakkan pemain pada perlawanan yang mempunyai pemain dengan jumlah mata yang serupa secara automatik.

Pemain juga akan bertarung dengan pemain di platform lainnya. Mod permainan ini akan dimainkan secara rentas platform tanpa mengira peranti termasuklah peranti mudah alih, konsol dan pc. Walaupun keputusan ini menimbulkan banyak persoalan dari pemain, Epic Games menyatakan bahawa menerusi pemerhatian mereka, pemain yang bermain menggunakan alat kawalan mampu untuk bersaing dengan pemain yang menggunakan papan kekunci dan tetikus. Mereka bagaimanapun akan terus memerhatikan perkara ini dan melakukan perubahan pada masa akan datang sekiranya perlu.

Berikut adalah jadual pertandingan yang akan diadakan:

  • Alpha Tournament (Solo)
    Tarikh: 16 – 21 Oktober
  • Beta Tournament (Duo)
    Tarikh: 23 – 25 Oktober
  • Friday Night Fortnite (Squad)
    Tarikh: 19 Oktober – 30 November (Setiap Jumaat)
  • Salty Springs Cup (Solo)
    Tarikh: 27 – 31 Oktober
  • Tomato Temple Cup (Duo)
    Tarikh: 28 Oktober – 1 November