Esukan OP-ED

[OP-ED] Sembang Esports Juta Juta

3 tahun lalu

[OP-ED] Sembang Esports Juta Juta

Di antara sukan tradisional dan sukan elektronik, di antara melakukan aktiviti yang mengeluarkan peluh atau duduk menekan papan kekunci dan tetikus, ada jurang besar yang menyebabkan penyokong kedua aktiviti-aktiviti tersebut berbalah mempertahankan pilihan mereka.

Kebelakangan ini, bagi mempertahankan fokus pihak kerajaan dalam membangunkan industri e-sukan tempatan, pasti sering kali kedengaran kata-kata yang menyatakan bahawa industri ini bernilai jutaan ringgit dan diselitkan sekali dengan kejayaan pemain tempatan merangkul jutaan ringgit di pentas antarabangsa. Bangga bukan?

Pertama kali hadir ke kejohanan The International, pemain berasal dari Malaysia, Jian Wei “xNova” Yap dan pasukan peroleh tempat kedua dan bawa pulang USD4,085,148.

Pada ketika ini, terdapat empat pemain Malaysia berada di kedudukan 100 pemain e-sukan dengan pendapatan tertinggi di dalam industri menurut laman web esportsearnings.com. Wong “ChuaN” Hock Chuan berada di tangga terbawah di antara pemain Malaysia dengan nilai USD740,982.93 (~RM3,078,413) di senarai tersebut. “Malaysia pasaran eSports ke21 terbesar di dunia dengan nilai 586.7 Juta USD,” ujar Syed Saddiq, Menteri Belia dan Sukan Malaysia sambil menegaskan bahawa e-sukan akan menjadi industri penting di masa depan*.

Dengan nilai-nilai yang dibicarakan, pasti kelihatan ianya pilihan yang tepat meneruskan fokus pembangunan e-sukan di negara kita. Siapa tidak mahu peroleh jutaan ringgit dengan hanya bertanding di sebuah kejohanan sahaja. Siapa tidak mahu menjadi watak utama industri bernilai 500 juta dolar. Namun begitu, bicara juta-juta ini sebenarnya membimbangkan. Ke mana arah tuju “pembangunan” industri e-sukan tempatan. Adakah dengan membina pusat e-sukan dan kejohanan-kejohanan besar dapat membantu?

Selangor Cyber Games tawar hadiah sebesar RM250,000

Para peminat e-sukan dan menteri acap kali lontar nilai juta-juta tapi siapakah yang akan menerima nilai juta-juta tersebut? Mengejar nilai juta-juta ini amat membimbangkan terutamanya apabila diucapkan seiring dengan niat membangunkan industri. Di mana kepentingan nilai ini apabila untuk menyara hidup sahaja amat sukar dilakukan di dalam industri ini. Mengejar puncak industri tidak salah namun fokus haruslah diberikan kepada pembangunan sebenar di dalam industri iaitu di asasnya. Isu utama industri e-sukan global bukan pada nilai jutaan ringgit yang ditawarkan. Pada ketika ini, industri hanya memberikan habuan kepada mereka yang berada di puncak sahaja.

Terdapat banyak organisasi e-sukan dan pasukan terpaksa melupakan hasrat untuk kekal bermain kerana tidak mampu memperoleh tempat di kejohanan-kejohanan e-sukan. Pemain tidak mampu menyara hidup mereka kerana nilai juta-juta tersebut hanya di nikmati mereka yang menang. Dacing industri masih jauh untuk seimbang. Bagaimana untuk mewujudkan Mushi seterusnya jika untuk bermula sebagai pemain sahaja sudah cukup sukar.

Bagaimana bintang seterusnya boleh digilap jika mereka terpaksa berputus asa di peringkat awal. Jika industri benar-benar mahu dibangunkan, lebih ramai pihak harus diberi peluang untuk hidup. Perkara asas seperti gaji pemain harus diberi keutamaan dan lupakanlah kejohanan dengan nilai hadiah besar-besaran. Pembangunan adalah dengan memberi peluangĀ  kepada lebih ramai pihak untuk mencuba dan bersaing, bukannya untuk mencari jutawan seterusnya.

Carta jangkaan aliran ekonomi e-sukan bagi tahun 2018 oleh Newzoo

Berbeza dengan apa yang dikatakan oleh Menteri, nilai industri e-sukan di Malaysia tidak mencapai angka 500 juta dolar. Nilai yang diutarakan adalah nilai industri permainan tempatan menurut Newzoo (Sumber 1). Ini adalah meliputi keseluruhan industri permainan termasuk mereka yang bermain secara kasual di telefon bimbit. Sisi kompetitif dan e-sukan hanyalah sebahagian kecil dari nilai tersebut. Untuk perbandingan, Newzoo menjangkakan nilai keuntungan industri e-sukan global pada tahun 2018 adalah sebesarĀ $905.6 juta (Sumber 2) berbanding dengan nilai keuntungan industri permainan secara keseluruhannya yang dijangka bernilaiĀ $137.9 bilion (Sumber 3).

Carta jangkaan keuntungan pasaran permainan global oleh Newzoo

Pihak kerajaan harus berhenti berbangga dengan nilai hadiah ratusan ribu ringgit yang ditawarkan sekiranya benar pembangunan industri merupakan keutamaan mereka. Mereka yang berada di bawah tidak memerlukan pusat e-sukan berkelas dunia, jurulatih sepenuh masa membimbing mereka tetapi adalah peluang untuk terus mencuba bersaing dan bermain. Mereka inilah golongan yang perlu diberi keutamaan dan dibangunkan untuk membina sebuah industri yang benar-benar berjaya.

Berbanding dengan tajaan kejohanan yang berlangsung sekelip mata dan hanya menguntungkan sesebuah pihak yang sama sahaja, adalah lebih baik sekiranya menaja liga tempatan seperti Mobile Legends Profesional League yang membolehkan pemain untuk mempunyai pendapatan yang tetap dan peluang untuk bersaing dan membangun. Pembangunan itu bermulanya dari bawah.