“Saya Peroleh USD 500k Tahun Lalu” – MidOne

“Saya Peroleh USD 500k Tahun Lalu” – MidOne

Pemain Dota 2 berasal dari Perak, Yeik “MidOne” Nai Zheng baru-baru ini telah di temuramah oleh Spark Liang, pencipta kandungan memfokuskan kepada pengurusan kewangan dan berkongsikan perjalanan hidup beliau sepanjang berada di dalam arena profesional Dota 2.

Di dalam temuramah tersebut, MidOne mendedahkan beliau telah mulai menyertai kejohanan Dota semenjak beliau berumur 12 tahun namun hanya mampu memenangi kejohanan di peringkat negeri sahaja. Oleh sebab itu beliau hampir berputus asa mengejar cita-cita menjadi pemain profesional dan mengambil keputusan menyambung pengajian di universiti. Namun begitu, hasil kemenangan sebuah kejohanan tempatan yang menyebabkan beliau semakin dikenali, beliau dijemput menyertai pasukan Fnatic yang pada ketika itu diketuai oleh Mushi.

Walaupun keluarga beliau tidak bersetuju dengan pilihannya menjadi pemain profesional, Midone berjaya menyakinkan mereka dengan membuktikan bahawa beliau masih mampu lulus di dalam pengajian beliau walaupun bermain Dota 2. Selepas itu, pemain posisi mid bagi Team Secret itu menyatakan bahawa beliau memperoleh pendapatan sekitar USD500,000 bagi tahun lalu sebagai pemain profesional.

Bermain bagi salah sebuah pasukan terbaik dunia, angka tersebut adalah normal bagi arena kompetitif Dota 2. Beliau turut mendedahkan bahawa ada pasukan yang memberikan gaji bulanan sebesar USD15,000 kepada pemain mereka. Team Secret bagaimanapun tidak mempunyai gaji tetap ujar Midone. Pasukan itu memberikan gaji bulanan berdasarkan kepada tajaan semasa mereka.

Dari segi pengurusan kewangan, MidOne memberikan kepercayaan kepada abangnya untuk menguruskannya kerana beliau mahu memfokuskan diri kepada permainan Dota 2. Antara pelaburan yang telah dilakukan oleh abangnya adalah dengan melabur pada hartanah dan pelaburan di pasaran saham. Beliau turut mempunyai simpanan tetap dan insuran bagi tujuan kecemasan.

Akhir sekali, MidOne juga berkongsikan sedikit nasihat kepada mereka yang mahu menjadi pemain e-sukan profesional. Kenalan merupakan aspek penting di dalam industri ini ujar beliau. Dengan mempunyai hubungan yang tepat, perjalanan untuk menjadi pemain profesional adalah lebih mudah. Oleh yang demikian, beliau menasihati untuk sentiasa berusaha mempromosikan diri bagi dikenali komuniti. Pemain juga harus bekerja keras dan mempunyai skill yang tinggi tambah beliau lagi. Seperti mana yang dilakukan beliau, MidOne turut menggesa untuk memastikan ibu bapa merestui pilihan anda dan membuktikan kepada mereka dengan memenuhi kehendak mereka.

Bersama dengan pasukan Secret, MidOne telah menamatkan musim lalu dengan memperoleh tempat ke-5/6 di kejohanan The International. Pasukan itu turut memenangi beberapa kejohanan sepanjang berlangsungnya musim lalu iaitu kejohanan Major DreamLeague Season 9, Captains Draft 4.0 dan DreamLeague Season 8.

Sumber : Spark Liang dan terjemahan bahasa Inggeris oleh u/Kaexch

Leave a Comment