Fortnite

Fortnite Mahu Berkongsi Keuntungan Dengan Pencipta Kandungan – Lancar Acara “Support A Creator”

3 tahun lalu

Fortnite Mahu Berkongsi Keuntungan Dengan Pencipta Kandungan – Lancar Acara “Support A Creator”

Fortnite merupakan salah sebuah permainan paling popular di dunia pada ketika ini. Pelbagai kandungan berasaskan permainan tersebut memenuhi laman web perkongsian video seperti Youtube dan Twitch. Bagi menunjukkan sokongan terhadap pencipta kandungan yang banyak membantu permainan itu mencapai kejayaan, Epic Games telah mengumumkan acara khas “Support-A-Creator”.

Acara ini membolehkan pencipta kandungan memperoleh sedikit pendapatan sekiranya penyokong dan peminat mereka membelanjakan V-Bucks di dalam permainan Fortnite. Acara ini akan bermula pada 8 Oktober ini sehingga penhujung tahun ini iaitu 31 Disember 2018. Selepas acara ini bermula kelak, para peminat boleh menyokong pencipta kandungan kegemaran mereka dengan memilih tetapan yang ada di kedai item (Item Shop) di Fortnite Battle Royale atau di tab Loot pada Fortnite Save The World.

Tetapan ini jika tidak diubah akan kekal selama 14 hari dan boleh ditukar pada bila-bila masa. Selepas itu, setiap perbelanjaan V-Bucks anda di dalam itu akan memberikan sedikit pendapat kepada mereka iaitu USD5 bagi setiap 10,000 V-Bucks. Bagi pencipta kandungan pula, acara ini tidak terhad kepada pencipta kandungan ternama seperti Ninja sahaja, ia terbuka kepada mana mana pihak yang memenuhi kriteria yang ditetapkan. Berikut adalah kriteria yang diperlukan:

  • Mengeluarkan kandungan berkaitan Fortnite dalam tempoh 30 hari lalu.
  • Mempunyai 1000+ pengikut di salah satu platform media sosial utama.
  • Melengkapkan perjanjian¬†afiliasi dan mematuhi kod tatatertib pencipta kandungan Epic Games.
  • Mampu menerima bayaran melalui saluran yang disokong oleh Epic Games.

Epic Games turut menegaskan bahawa mereka mementingkan pencipta kandungan yang mematuhi kod tatatertib mereka. Ini adalah termasuk kelakuan yang baik dan tiada unsur toksik di dalam kandungan yang dihasilkan termasuk pada kelakuan yang bersifat perkauman, ucapan hina, diskriminasi dan juga kandungan yang terlalu berlebihan dari segi pengiklanan dan berunsur spam.

Langkah Epic Games ini dilihat membuktikan bahawa pencipta kandungan merupakan aspek penting dalam menentukan kejayaan sesebuah permainan pada masa kini. Penstrim video popular seperti Ninja dan Shroud mampu menarik minat ramai penonton mereka untuk bermain sesuatu permainan. Di Malaysia sendiri trend menjadi penstrim video dan pencipta kandungan semakin popular. Beberapa laman penstriman khas seperti Tamago dan Bigo membuktikan bahawa semakin ramai mencuba untuk menjadi penstrim video popular.

Layari : Fortnite Support A Creator