Esukan OP-ED

[OP-ED] Kenapa Pembinaan Liga Lebih Penting Berbanding Dengan Pembinaan Pusat E-sukan

2 tahun lalu

[OP-ED] Kenapa Pembinaan Liga Lebih Penting Berbanding Dengan Pembinaan Pusat E-sukan

Bermula dengan kempen pilihanraya tempoh hari, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah menjanjikan pembinakan fasiliti e-stadium ataupun pusat e-sukan bagi membantu pembangunan arena e-sukan tempatan. Baru-baru ini beliau juga mengumumkan AirAsia Esports Centre yang bertempat di Klang, Selangor.

Sementara itu, kerajaan negeri Perak juga berminat untuk menubuhkan taman e-sukan di negeri tersebut. Namun begitu, adakah dengan pembinaan pusat e-sukan ini dapat membantu membangunkan arena e-sukan tempatan dan menyungkil bakat baharu di negara kita? Adakah pembinaan pusat e-sukan ini mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh pemain tempatan?

Penulis merasakan bahawa pembinaan pusat e-sukan adalah tidak penting dan pihak kerajaan seharusnya memfokuskan kepada aspek dan masalah lain yang lebih penting iaitu kelangsungan hidup pemain profesional. Bagi penulis, kelangsungan hidup merupakan aspek terpenting kerana tanpa pendapatan yang berterusan, pemain tidak mampu menyara hidup seharian mereka dan ini menyebabkan ramai pemain terpaksa meninggalkan hasrat mereka untuk kekal bermain secara profesional.

[irp posts=”1722″ name=”Perak Tubuh Jawatankuasa Protem E-Sukan – Mahu Bina Taman E-sukan”]

Masalah ini bukan sahaja terjadi di arena e-sukan tempatan malah merupakan masalah yang sering terjadi di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, walaupun permainan Dota 2 mempunyai kejohanan dengan jumlah hadiah yang mencecah ratusan juta ringgit, aspek pembangunan permainan itu tidak serancak permainan lain seperti Overwatch dan League of Legends kerana format arena profesional permainan itu yang memberikan keuntungan kepada pasukan terbaik sahaja.

Pasukan pasukan yang gagal melayakkan diri ke kejohanan tidak mampu bertahan lama kerana tidak mempunyai pendapatan. Ini adalah berbeza dengan format liga yang digunakan oleh permainan Overwatch dan League of Legends. Format liga yang berlangsung di dalam jangka masa yang lebih lama berbanding dengan kejohanan tunggal membolehkan pasukan pasukan mempunyai pendapatan untuk terus bermain.

Oleh yang demikian, penulis berpendapat bahawa sekiranya pihak kerajaan serius dalam usaha mereka membangunkan arena e-sukan tempatan, pembinaan liga e-sukan adalah lebih penting dan pembinaan pusat e-sukan tidak harus dijadikan fokus kerajaan. Seterusnya artikel ini akan membincangkan sebab sebab kenapa penulis berpendapat sedemikian.

Kejohanan dan Gaji Pemain

Seperti mana yang dinyatakan sebelum ini, kelangsungan hidup merupakan masalah utama kepada mereka yang mahu menjadi pemain profesional. Tanpa pendapatan kekal, pemain tidak mampu untuk menyara hidup seharian mereka. Peratusan untuk memenangi kejohanan adalah terlalu rendah untuk dijadikan taruhan dalam mengejar cita-cita mereka. Ini menyebabkan pemain berputus asa dengan lebih awal dan tanpa pemain profesional, arena kompetitif sesuatu permainan itu tidak akan hidup dan kekal lama. Ini adalah berbeza dengan wujudnya sistem liga yang selalunya berlangsung pada tempoh yang lebih lama iaitu antara 3 sehingga 6 bulan.

Tempoh masa liga yang lama ini adalah lebih baik berbanding dengan lambakan kejohanan yang berlangsung dalam tempoh satu sehingga tiga hari. Kelebihan pertama adalah pembahagian hadiah dan dana. Kejohanan yang berlangsung selama tiga hari dan menawarkan hadiah yang tinggi tidak memberikan keuntungan kepada pembangunan arena e-sukan tempatan. Hanya pihak pemenang kejohanan tersebut sahaja yang dapat menikmati hadiah. Sebaliknya dengan membina liga, jumlah hadiah dapat dikurangkan dan disalurkan kepada semua peserta di dalam bentuk gaji pemain.

“Saya rasa e-sukan di Malaysia masih membangun namun platform sedia ada masih tidak cukup baik untuk pemain menyara kerjaya mereka.”

– Yap “xNova” Jian Wei, via The Star

Dengan langkah ini, lebih ramai pemain akan memperoleh pendapatan untuk menyara hidup mereka dan kekal bermain. Kelebihan kedua pula adalah jumlah permainan dan lawan. Dengan adanya liga, pasukan pasukan akan sentiasa bertarung sesama mereka sendiri tanpa risau tersingkir dari kejohanan. Pertarungan yang sentiasa terjadi sepanjang liga ini akan membantu para pemain untuk meningkatkan prestasi dan kekuatan mereka. Secara tidak langsung, bakat bakat tempatan dapat dicungkil dan diperhatikan untuk tempoh masa yang lebih lama bagi membuktikan mereka benar benar berbakat.

Ini adalah berbeza dengan lambakan kejohanan pada ketika ini. Di Malaysia, arena e-sukan amatur dan semi profesional adalah meriah namun ia tidak berpusat. Setiap pihak seperti pusat siber dan syarikat e-sukan mewujudkan kejohanan mereka tersendiri dan tidak berhubung antara satu sama lain. Pihak di Johor akan mengadakan kejohanan tersendiri manakala pihak di Selangor juga berbuat demikian. Syarikat A adakan kejohanan di negeri ini manakala syarikat B menganjurkan kejohanan lain pula.

[irp posts=”1742″ name=”Bekas Pemain KL Hunters, Ozora Veki Sertai Pasukan Mobile Legends MysteriousAssassin”]

Ini menyebabkan bakat tempatan sukar untuk diperhatikan dan dicungkil kerana memberikan fokus kepada pelbagai kejohanan yang berbeza entiti ini adalah sukar. Dengan adanya liga, pemain dapat dilihat dari awal musim sehinggalah tamat liga. Liga juga membolehkan kita melihat pemain berbakat secara semula-jadi dengan melihat siapa yang kekal untuk musim akan datang dan siapa yang tersingkir. Pemain yang baik sepanjang musim pasti akan menjadi rebutan pasukan di dalam liga tersebut dan kekal bermain di musim seterusnya. Tempoh masa yang lama ini juga memberikan data yang lebih banyak dan analisis yang lebih tepat dalam menentukan bakat pemain pemain ini.

Penajaan dan Pasaran.

Tempoh masa yang lama juga membolehkan kerjasama lebih strategik diadakan bersama dengan jenama dan syarikat penajaan pihak ketiga. Perkara ini boleh dilihat pada penganjuran Liga Overwatch. Slot liga tersebut dijual kepada syarikat konglomerat, organisasi sukan dan organisasi e-sukan. Mereka kini mempunyai hubungan yang lebih mendalam di dalam liga tersebut dan tidak lagi perlu risau sama ada pasukan tajaan mereka akan layak ke sesebuah kejohanan. Pasukan pasukan akan kekal berada bermain di dalam liga untuk sepanjang musim (kecuali di peringkat terakhir liga).

Jika pasukan pasukan di Liga Overwatch mewakili bandar bandar utama dunia, kenapa tidak wujudkan liga tempatan yang mewakili negeri atau jenama-jenama penaja itu sendiri. Seperti mana Liga Overwatch, para pemain boleh dicari menerusi kejohanan kejohanan rantau (negeri) dan kemudiannya dibeli oleh organisasi e-sukan dan jenama untuk mewakili mereka di dalam liga tersebut.

Platform pengiklanan boleh disertakan menerusi logo di jersi, iklan di sesi penstriman pemain, penjenamaan pasukan, cenderahati bagi sepanjang musim liga berlangsung. Ini membolehkan hubungan antara jenama dan peminat lebih mendalam dan lebih menarik berbanding dengan tajaan pasukan pada masa kini yang hanya dipaparkan bagi tempoh 3 hari siaran kejohanan setiap dua bulan.

Laporan dari Newzoo menunjukkan di Malaysia pada tahun 2017, ada seramai 14 juta orang pemain permainan digital dan mereka membelanjakan lebih USD587 juta (RM2.4 billion). Laporan yang sama turut menunjukkan bahawa 59% daripada jumlah pemain ini menonton kandungan berasaskan permainan. Jika liga e-sukan yang stabil dapat diadakan untuk menarik walau separuh dari jumlah penonton tersebut, ia merupakan tarikan yang amat besar kepada pelabur dan penaja.

Stadium E-sukan?

The Pantheon
Pusat esukan, The Pantheon

Berbalik kepada fokus kerajaan membina pusat e-sukan, perkara ini haruslah dikaji semula agar iaitu tidak menjadi salah satu projek gajah putih kerajaan yang hanya menguntungkan pihak tertentu sahaja. Sekiranya perlu, terdapat banyak pusat e-sukan pihak ketiga yang boleh disewa untuk kegunaan tertentu seperti pusingan akhir liga.

Di zaman serba canggih ini, ramai rakyat mempunyai gajet dan perkakasan mereka sendiri dan tidak memerlukan tempat khas untuk bermain. Apa yang diperlukan adalah talian internet yang lebih baik, platform untuk terus bermain dan bertanding tanpa risau untuk menyara diri mereka.

Adalah lebih baik sekiranya platform liga yang stabil diberi keutamaan dan dana oleh kerajaan. Fokus juga harus diberikan kepada permainan yang kurang popular. Demi membangunkan arena e-sukan dan mencungkil bakat tempatan, adanya liga untuk sesuatu permainan yang kurang popular adalah lebih baik berbanding stadium yang digunakan untuk menganjurkan kejohanan bagi permainan yang sudah sedia popular dan sudah sedia mempunyai lambakan pemain bertaraf dunia.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments