Twitch

Kerana Sukan Asia, Twitch Kini Disekat Di China

Diterbitkan: 24/09/2018 < 1 minit bacaan

Penulis:

Kerana Sukan Asia, Twitch Kini Disekat Di China

Bacaan: < 1 minit

Laman penstriman popular, Twitch menjadi mangsa terbaru The Great Firewall of China apabila ia kini disekat daripada diakses penduduk negara tersebut. Keputusan ini dilihat adalah hasil kepopularan laman tersebut ketika berlangsungnya kejohanan e-sukan di Sukan Asia 2018 Jakarta-Palembang.

Ketika acara League of Legends berlangsung di Sukan Asia 2018, ramai peminat dari China membanjiri laman Twitch kerana acara tersebut tidak disiarkan secara langsung dimana-mana servis penstriman tempatan di China. Siaran tidak rasmi di Twitch menerima penonton melebihi angka 1 juta ketika perlawanan akhir antara pasukan China dan Korea berlangsung. Kebanjiran peminat dari China ini dilihat telah menyebabkan laman tersebut dikesan radar pihak berkuasa China dan oleh kerana laman tersebut berpengkalan di Amerika Syarikat dan mengandungi kandungan yang tidak mampu dikawal China ini pasti membimbangkan pihak berkuasa negara tersebut.

Kerajaan China aktif menyekat sebarang laman web yang dilihat melanggar undang undang negara tersebut. Antara sebab yang diberikan adalah kerana menggangu penyatuan rakyat, menimbulkan kebencian, mempromosikan keganasan, kandungan seksual dan sebarang laman web yang dilihat berbahaya kepada kerajaan sedia ada. Sistem sekatan ini telah menerima kecaman ramai kerana ia dilihat digunakan sebagai cara pihak kerajaan menyekat kebebasan bersuara rakyat dan membantutkan sebarang usaha mendedahkan salah laku kerajaan.