Riot Games

Riot Games Dedah Perancangan Mereka Perbaiki Budaya Di Dalam Syarikat Itu

3 tahun lalu

Riot Games Dedah Perancangan Mereka Perbaiki Budaya Di Dalam Syarikat Itu

Beberapa minggu kebelakangan ini, Riot Games telah dilanda kontroversi dimana mereka dituduh mengamalkan budaya perkauman, misogini dan seksisme di dalam syarikat itu.  Tuduhan itu hadir daripada bekas pekerja mereka dan dilaporkan hasil siasatan khas oleh laman web Kotaku.

Baca : Riot Games Dilaporkan Mengamalkan Budaya Misogini Dan Seksisme

Baca: Lagi Tuduhan Terhadap Riot Games – Kali ini Penggunaan Kata Kata Kesat Termasuk Perkauman Dan Homofobia Di Pejabat 

Kini, menerusi sebuah terbitan di blog mereka, Riot Games telah mendedahkan langkah yang telah dan akan diambil mereka bagi memperbaiki dan menghapuskan segala budaya yang tidak patut wujud di dalam syarikat itu.

Riot memulakan terbitan itu dengan permohonan maaf kepada pekerja, bekas pekerja, para peminat, pemain dan juga pada mereka yang berminat untuk bekerja di syarikat itu.

Pertama sekali, Riot Games menegaskan bahawa mereka komited dalam usaha mereka mengubah segala masalah yang dimiliki syarikat pembangun permainan League of Legends itu. Riot telah mewujudkan sebuah pasukan baharu bagi menerajui pembangunan budaya di dalam syarikat itu. Ini bagi memastikan bahawa budaya yang berpatutan dapat dikekalkan manakala yang tidak patut wujud dihapuskan.

Riot juga telah berhubung dengan dua konsultan bagi membekalkan kepakaran mereka berhubung dengan pembangunan semula budaya syarikat itu. Bagi memperbaiki semula kepercayaan semua pihak, Riot telah mewujudkan beberapa langkah termasuklah:

  • Talian penting bagi menerima laporan atau rungutan secara tanpa nama.
  • Membawa syarikat guaman luaran bagi menyelidik laporan yang diterima tanpa bias.
  • Memberhentikan pekerja yang didapati bermasalah.
  • Membekalkan latihan anti-perkauman, anti-ganguan dengan lebih mendalam termasuklah kepada penemuduga mereka dan kesemua pekerja mereka.
  • Merekrut Ketua Pegawai Sumber Daya Manusia (CHRO) baharu dan merekrut Ketua Pegawai Kepelbagaian (CDO) baharu. Mereka akan menyertai barisan pucuk kepimpinan eksekutif syarikat itu bagi mempercepatkan usaha mereka memperbaiki Riot secara keseluruhannya.

Usaha ini sudah tentu akan mengambil masa untuk memperlihatkan hasilnya namun sebagai salah sebuah syarikat permainan terbesar di dunia, segala perubahan kearah penambahbaikan terutamanya melibatkan keadilan terhadap pekerja wanita adalah amat penting dan harus disokong semua pihak. 

Budaya lapuk seperti perkauman, seksisme tidak lagi perlu wujud dan perlu dihapuskan segera. Usaha ini harus dilakukan semua pihak termasuklah para pemain yang juga perlu mempamerkan budaya sihat semasa bermain terutamanya ketika bermain permainan di dalam talian .

Sumber : Riot Games