Tradisi Berakhir – Pasukan OG Muncul Juara Kejohanan The International 2018

Dari kekurangan dua orang pemain di saat akhir, ke pusingan kelayakan terbuka, ke pentas utama dan kini juara kejohanan The International 2018. Perjalanan penuh suka duka berakhir dengan kejayaan paling manis, pasukan OG menundukkan PSG.LGD dengan keputusan 3-2 di pentas utama TI8 di Rogers Arena, Kanada. Sebagai juara keseluruhan kejohanan pasukan itu membawa pulang hadiah sebesar USD11,202,846+ (~RM45,836,444), hadiah terbesar bagi mana mana acara tunggal e-sukan.

Perlawanan akhir ini berlangsung sengit memaksa kelima lima siri permainan dimainkan. Pasukan OG memenangi perlawanan pertama namun PSG.LGD bangkit untuk memenangi dua perlawanan seterusnya. Dengan Aegis of Champions semakin menjauh dari dakapan, pasukan OG mempamerkan persembahan menakjubkan untuk memaksa permainan kelima dimainkan sebelum akhirnya menundukkan wakil dari China itu untuk menjulang piala kejohanan.

Juara – OG :

  • Anathan “ana” Pham
  • Topias “Topson” Taavitsainen
  • Sébastien “7ckngMad” Debs
  • Jesse “JerAx” Vainikka
  • Johan “N0tail” Sundstein
  • Cristian “ppasarel” Banaseanu (Jurulatih)

Kedua – PSG.LGD :

  • Wang “Ame” Chunyu
  • Lu “Somnus” Yao
  • Yang “Chalice” Shenyi
  • Xu “fy” Linsen
  • Jian Wei “xNova” Yap
  • Yao “QQQ” Yi (Jurulatih)

Kemenangan OG ini juga memperlihatkan tradisi kemenangan bergilir barat-china kini berakhir. Edisi tahun ini juga mengekalkan rekod tiada pemain yang memperoleh kejuaraan The International kedua dengan kesemua pemenang lalu gagal mara ke pentas akhir kejohanan.

Baca Juga :   Dengan Pemain Berasal Dari Singapura, Fnatic Dipilih Jadi Pasukan Jemputan Terakhir PVP eSports Championship

Jian Wei “xNova” Yap, wakil terakhir Malaysia di pentas TI8 bersama pasukannya, PSG.LGD menamatkan kejohanan di tempat kedua, antara yang terbaik pernah dicapai pemain berasal dari Malaysia. PSG.LGD membawa pulang hadiah sebesar USD4,076,051+ (~RM16,677,162) sebagai naib juara kejohanan.

Pemain Malaysia lainnya, Midone (Team Secret) menamatkan kejohanan di tempat ke-5/6 (USD 1,145,587) manakala Mushi dan Moon (Mineski) menamatkan kejohanan di tempat ke-9/12 (~USD 381,862) kejohanan. 

Antara perkara menarik yang terjadi sepanjang kejohanan ini berlangsung pula adalah pengenalan dua hero baharu Dota 2 iaitu Mars dan Grimstroke. The International 2018 juga berjaya memecahkan rekod hadiah keseluruhan tahun lalu dengan nilai melebihi USD25 juta.

The International 2018 berlangsung dengan meriah dan boleh dikatakan antara edisi terbaik pernah dianjurkan dengan pelbagai perlawanan menarik dan mendebarkan berlangsung, kisah sebalik tabir yang mengemparkan dan perjalanan setiap pasukan terutamanya pasukan OG yang tidak terjangka.

Sementara itu, bagi penganjuran kejohanan The International 2019, buat pertama kalinya, Valve telah mengumumkan bahawa ia akan dianjurkan di Asia iaitu bertempat di Mercedes-Benz Arena, Shanghai, China.

Leave a Comment

%d bloggers like this: