Riot Games Dilaporkan Mengamalkan Budaya Misogini Dan Seksisme

Riot Games Dilaporkan Mengamalkan Budaya Misogini Dan Seksisme

Laman berita permainan popular, Kotaku lewat malam semalam telah mengeluarkan sebuah laporan menuduh syarikat pembangun permainan, Riot Games mengamalkan budaya misogini.

Riot Games yang terkenal dengan permainan League of Legends telah dituduh melayan pekerja wanita dengan tidak adil berbanding dengan layanan yang diterima oleh pekerja lelaki. Menurut Kotaku, siasatan yang dilakukan mereka telah bermula pada Disember tahun 2017 lalu dan mereka telah menemubual 28 pekerja semasa dan bekas pekerja Riot Games dalam mencipta laporan ini.

Menerusi temubual yang dijalankan, ramai daripadanya mengeluarkan kenyataan yang menyokong laporan amalan budaya misogoni ini. Antara contoh yang diberikan adalah persembahan idea pekerja wanita yang ditolak, namun diterima dengan baik apabila persembahan idea yang sama dilakukan oleh pekerja lelaki.

Beberapa bekas pekerja juga mendedahkan bahawa keputusan mereka meninggalkan Riot Games adalah disebabkan amalan seksisme di syarikat tersebut. Riot Games juga dilaporkan telah menolak sejumlah besar permohonan kerja oleh wanita kerana merasakan mereka tidak ideal untuk bekerja di syarikat tersebut.

Ketua Komunikasi Korporat Riot Games, Joe Hixson mengeluarkan respon di laman subreddit r/leagueoflegends bagi pihak Riot Games. Beliau berkata bahawa laporan yang dikeluarkan oleh Kotaku adalah bertentangan dengan budaya yang diamalkan oleh syarikat terbabit. Riot Games tidak bertoleransi terhadap diskriminasi, buli, gangguan dan sikap toksik secara umumnya tambah beliau lagi.

Baca Juga :   Riot Games Fail Tanda Dagang "Legends of Runeterra". Permainan Baharu Sedang Dibangunkan?

Didalam kenyataan itu lagi, Joe Hixson bersetuju bahawa mereka masih perlu bekerja keras melebarkan lagi diversiti di Riot Games. Kenyataan tersebut bagaimanapun menerima kritikan peminat yang melihat ia sebagai bual kosong. Pada ketika artikel ini ditulis, kenyataan di laman reddit tersebut berada di kedudukan 380 undi negatif.

Sebagai salah sebuah syarikat permainan terbesar dan terpopular, Riot Games harus segera tampil membuktikan bahawa mereka tidak mengamalkan budaya negatif ini dan sekiranya ia benar berlaku, harus pantas mencari penyelesaian. Ini adalah penting terutamanya kerana mereka membangunkan permainan dengan fokus kepada permainan berbilang pemain. Sekiranya pembangun permainan sendiri gagal membuang budaya toksik di syarikat mereka, apakah contoh yang akan diberikan kepada pemain mereka.

Sumber : Kotaku / r/leagueoflegends

Leave a Comment