Mobile Legends

AirAsia Saiyan Tarik Diri Dari Kejohanan Mobile Legends SEA Championship Sebagai Tanda Protes Terhadap Penganjur

3 tahun lalu

AirAsia Saiyan Tarik Diri Dari Kejohanan Mobile Legends SEA Championship Sebagai Tanda Protes Terhadap Penganjur

Kontroversi sekali lagi melanda arena kompetitif permainan Mobile Legends apabila pasukan AirAsia Saiyan mengumumkan bahawa mereka secara rasminya menarik diri dari kejohanan Mobile Legends SEA Championship sebagai tanda protes terhadap penganjur.

Perkara ini bermula selepas pasukan AirAsia Saiyan dan pasukan Aerowolf mempunyai mata yang sama untuk layak ke pusingan separuh akhir kejohanan. Menurut buku peraturan dan kontrak yang ditandatangani oleh pasukan AirAsia Saiyan, mereka sepatutnya mara ke pusingan separuh akhir kerana mempunyai jumlah kill yang lebih banyak berbanding pasukan Aerowolf.

Hasil perbincangan dengan pihak penganjur iaitu RevivalTV, AirAsia Saiyan disahkan layak untuk mara ke pusingan seterusnya. Namun begitu, pasukan Aerowolf membantah keputusan itu. Pihak penganjur kemudiannya melakukan perbincangan sekali lagi dan mendapati bahawa kedua dua pasukan mempunyai kontrak dan buku peraturan yang berbeza.

Pihak penganjur kemudiannya mengambil keputusan untuk mengadakan perlawanan antara kedua pasukan bagi menentukan pemilik slot separuh akhir tersebut. AirAsia Saiyan akhirnya mengambil keputusan untuk menarik diri sebagai tanda protes terhadap keputusan penganjur ini.

Ini merupakan isu kedua yang dihadapi pasukan AirAsia Saiyan pada kejohanan tersebut. Pada hari pertama, seorang pemain pasukan AirAsia Saiyan mengalami masalah teknikal namun marshall perlawanan lewat dalam mengambil tindakan sehingga menyebabkan mereka akhirnya tertewas.

AirAsia Saiyan kemudiannya meminta untuk diadakan perlawanan semula kerana tindakan marshall tersebut yang mengabaikan masalah mereka semasa perlawanan. Namun begitu, permohonan mereka ditolak penganjur selepas lawan mereka iaitu Aerowolf tidak mahu melakukan perlawanan semula.

Di dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh AirAsia Saiyan, mereka juga dilihat akan melakukan tindakan undang-undang terhadap pihak penganjur yang melanggar perjanjian kontrak mereka.