PC

Apa Itu Ping? Kenapa Masih Lag Walaupun Talian Internet Anda Pantas?

3 tahun lalu

Apa Itu Ping? Kenapa Masih Lag Walaupun Talian Internet Anda Pantas?

Bagi anda yang sering bermain permainan atas talian, anda pasti tidak asing lagi dengan perkataan ping. Tapi apa itu ping? Kenapa ping yang tinggi menyebabkan sela masa (lag) semasa bermain dan kenapa walaupun mempunyai talian internet yang pantas, ping kadang kala masih tinggi?

Ping adalah terma yang digunakan untuk mengira kelajuan masa pendam paket data yang dihantar dari sesebuah komputer ke pelayan dan kembali semula kepada komputer tersebut. Ping dikira menggunakan ukuran milisaat (ms). Oleh yang demikian, semakin rendah nilai ping, semakin cepat paket data dapat dihantar dan diterima.

Kenapa talian yang pantas tidak menjamin ping yang rendah?

Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi nilai ping dengan lokasi pelayan (server) menjadi faktor utama. Jika anda perasan, didalam permainan biasanya anda boleh memilih pelayan yang mahu digunakan. Pelayan yang hampir dengan lokasi fizikal anda kebiasaanya mempunyai nilai ping yang lebih rendah.

Data memperlihatkan peningkatan nilai ping selari dengan peningkat jarak pelayan.

Jarak fizikal yang jauh menyebabkan peningkatan jumlah masa untuk paket data dihantar. Masa ini jelas kelihatan apabila menjalankan aktiviti seperti pemainan atas talian yang memerlukan komputer anda dan pelayan berkomunikasi sepanjang masa. Berbeza dengan penstriman data seperti menonton video atau memuat-turun sesuatu fail, penstriman data membolehkan paket data dihantar di dalam jumlah yang besar sebelum memerlukan respon dari kedua dua pihak. Oleh yang demikian, komputer dan pelayan tidak perlu banyak berkomunikasi dan mengemaskini data.

Permainan atas talian pula memerlukan respon bagi setiap aktiviti dan pengerakan tidak kira sekecil mana yang anda lakukan semasa bermain. Oleh yang demikian, setiap sela masa akan jelas mempengaruhi pengalaman bermain anda. Sekiranya setiap data pergerakan pemain ini lambat tiba ke pelayan permainan, maka permainan tidak lagi licin dan sela masa akan dirasa oleh pemain.

Selain daripada jarak fizikal pelayan, beberapa perkara lain yang mungkin mempengaruhi nilai ping adalah jumlah pemain di pelayan, konfigurasi pelayan dan internet. Sekiranya pelayan permainan dipenuhi dengan pemain, ia mungkin menerima beban yang terlalu tinggi dan memberikan kesan kepada perkhidmatan mereka.

Terdapat beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk memperbaiki nilai ping anda. Pertama sekali, sentiasa memilih pelayan yang paling hampir dengan lokasi anda. Jika ini tidak berjaya, anda boleh cuba menukar pelayan lain di lokasi yang sama. Pusat data kebiasaannya menyediakan lebih daripada satu pelayan di sesebuah rantau. Selain itu, pastikan penghala (router) berada berdekatan dengan anda sekiranya anda menggunakan wifi. Sekiranya anda bermain di pc, penggunaan kabel ethernet adalah lebih baik berbanding wifi. Anda juga boleh mematikan sebarang  aplikasi yang berada di latar agar talian anda tidak terjejas.

Jika ada peranti yang terhubung pada talian internet anda namun ianya tidak digunakan, adalah lebih baik sekiranya sambungan itu ditamatkan sementara waktu. Akhir sekali, anda juga boleh menaiktaraf penghala (router) anda kepada yang mempunyai spesifikasi yang lebih baik berbanding yang asal. Penghala yang dibekalkan oleh penyedia perkhidmatan (ISP) pada kebiasaannya adalah berkualiti asas sahaja.

Adakah VPN mampu menambahbaik ping?

Secara ringkas dan kebiasaannya, tidak. Dengan menggunakan VPN, anda menambah sebuah lagi perhentian antara anda dan pelayan. Seperti mana di dalam dunia sebenar, lebih jauh jarak perjalanan dan lebih kerap anda berhenti, maka lebih lewatlah anda bakal tiba ke destinasi.

Namun begitu, sekiranya jalan yang lebih dekat itu sesak dengan pengguna, maka jalan jauh yang tidak sesak mampu membantu anda tiba dengan lebih pantas. Oleh itu, bergantung pada keadaan, VPN terutamanya yang berbayar seperti Windscribe (affiliate link) mampu membantu meningkatkan taraf talian internet anda.

Sekiranya ping anda teruk, tidak salah untuk mencuba nasib dengan menggunakan VPN.

guest
0 Comments
Inline Feedbacks
View all comments