Faker: “Bukan Salah Individu, Semua Pemain Bergilir Bermain Dengan Teruk”

3 tahun lalu

Faker: “Bukan Salah Individu, Semua Pemain Bergilir Bermain Dengan Teruk”

Lee “Faker” Sang-hyeok boleh dikatakan merupakan pemain e-sukan paling terkenal di dunia. Juara tiga kali acara Worlds Championship itu pada ketika ini bermain bagi pasukan SK Telecom T1 dan separuh pertama musim kompetitif 2018 memperlihatkan beliau dan pasukannya mempamerkan prestasi mengecewakan dan gagal melayakkan diri ke kejohanan Mid Season Invitational 2018. Dimana silapnya?

Beliau baru baru ini dengan tenang duduk menjawab pertanyaan pada sesi temuramah bersama dengan laman web e-sukan ternama Korea Selatan iaitu InvenGlobal. Selepas mempamerkan prestasi teruk pada Split pertama, beliau menyatakan beliau kini lebih memikirkan tentang keadaan mental beliau. Daripada berfikir tentang isu di dalam perlawanan, beliau kini memfokuskan tentang isu psikologi beliau agar dapat mengekalkan pemikiran yang positif.

“Saya akhirnya gagal melayakkan diri ke MSI tahun ini. Jadi berbeza dengan tahun sebelumnya, saya kini sedang bersiap sedia lebih awal untuk menghadapi split seterusnya. Saya juga mengambil masa berfikir, sendirian, cuba mencari jalan terbaik untuk capai kejayaan. Ianya tidak janggal untuk berada di posisi ini pada ketika ini — tapi ia tidak enak apabila pasukan lain berada di atas. Boleh kata yang ianya mempengaruhi ego saya sebagai pemain” – Faker.

Beliau berkata bahawa beliau cuba untuk melihat kegagalan beliau dari pelbagai sudut. Beliau memberikan pelbagai komitmen untuk beraksi dengan lebih baik pada masa akan datang.

“Termasuk saya, semua orang di dalam pasukan bergilir bermain dengan teruk, jadi saya tidak rasa pertukaran pemain adalah penyebabnya” -Faker

Berbanding dengan masalah individu tertentu, Faker berkata bahawa ia bukanlah masalah utama mereka. Ketiadaan laner dengan potensi untuk menjadi pemain carry utama adalah puncanya. Beliau berkata itulah sebabnya prestasi mereka merudum. Kesemua masalah pemain bertembung menghasilkan suatu masalah yang besar.

Beliau juga menegaskan bahawa memenangi banyak kejohanan tidak semestinya menyebabkan seseorang pemain itu berasa ego. Beliau tegas menyatakan kesemua perlawanan adalah penting dimata beliau. Faker juga telah berhenti membaca komen peminat di forum kerana merasakan ia kini tidak lagi membantu.

Kedudukan beliau pada ketika ini menyebabkan beliau takut kerana tidak mahu tanpa sedar bersetuju dengan komen komen yang dilontarkan di laman laman tersebut. Beliau tidak mahu perasan yakin beliau tergugat dengan komen komen negatif peminat.

“Walaupun tidak ditentukan lagi, ianya suatu kehormatan untuk mampu bermain di Sukan Asia” -Faker

Menyentuh perkembangan e-sukan yang bakal ditambah sebagai salah satu acara rasmi berpingat pada Sukan Asia 2022, beliau berkata beliau amat bermotivasi untuk bermain dengan terbaik, agar dapat terpilih untuk bermain di Sukan Asia.

Faker juga berkata bahawa beliau kini berada di ranking ke-4 bagi posisi mid di dunia. Beliau merasakan musim ini prestasi beliau tidak cukup untuk meletakkan beliau di posisi teratas. Beliau juga merasakan beliau kini sering kali menilai dirinya dengan lebih rendah. Beliau mahu lebih berusaha kerana kekurangan keyakinan.

“Tapi saya tidak ada banyak masa. Saya betul betul mahu melayakkan diri ke kejohanan Worlds tahun ini” – Faker


Sumber : InvenGlobal