Logo Bagi Kejohanan E-sukan Dunia Ke-10 di Kota Kaohsiung Didedahkan

Pada bulan November tahun 2017 lalu, Kota Kaohsiung, Chinese Taipei telah dipilih sebagai tuan rumah kepada acara Esports World Championship 2018 (Kejohanan E-sukan Dunia 2018). Kaohsiung Arena yang pernah menjadi pentas akhir kejohanan League of Legends Rift Rivals Series 2017 telah terpilih sebagai lokasi penganjuran dan mampu memuatkan 15,000 orang penonton.

Bersempena dengan tahun kesepuluh acara kejohanan dunia ini dianjurkan juga, Kota Kaohsiung menjanjikan acara e-sukan yang lebih berskala besar dan berkualiti tinggi. Kini, menjelang semakin hampir acara tersebut, logo rasmi Esports World Championship 2018 itu telah didedahkan.

Logo ini direka dengan dua elemen utama Kota Kaohsiung di integrasikan menjadi warna tema utama iaitu cahaya mentari yang menyinar dan ombak laut yang bersemangat. Simbol infiniti pula menjadi motif utama yang melambangkan potensi tanpa terhad yang dimiliki oleh atlet e-sukan. Sebagai unit, ia juga melambangkan sokongan dan pembangunan dunia e-sukan tanpa had.

Baca Juga :   Dreamhack Ikut Jejak Langkah ESL Batal Penggantungan Pemain Yang Pernah Ditangkap Mengatur Perlawanan

Acara ini akan dilangsungkan pada 9 sehingga 11 November 2018 dengan tiga permainan telah didedahkan akan dipertandingkan iaitu Counter Strike : Global Offensive, League of Legends dan Tekken 7. Sebilangan permainan lain juga masih sedang diperbincangan untuk ditambah ke dalam acara tahunan ini.

Menurut penganjur, Esports World Championship 2018 dijangka akan menarik lebih 1000 pemain dari lebih 45 buah negara untuk hadir bertanding. Ia juga dijangka menjadi edisi terbesar semenjak ia mula dianjurkan 10 tahun yang lalu. Sementara itu, pembinaan bagi penganjuran edisi seterusnya telah pun dibuka kepada kota atau negara yang berminat dan pembidaan bakal berakhir pada 30 september ini.

Sumber : IESF

Leave a Comment