Lembaga Permainan Belanda Dapati Kotak Tikam Langgar Undang Undang Perjudian – Arah Pembangun Buang Segera

Lembaga Permainan Belanda (Kansspelautoriteit – KSA) dilaporkan telah melakukan kajian terhadap beberapa permainan popular dan mendapati bahawa terdapat permainan yang melanggar undang undang perjudian negara tersebut.

Menurut agensi berita NOS, 10 permainan telah dikaji oleh pihak berkuasa tersebut dan 4 daripadanya telah melanggar akta Better Gaming Act dimana permainan permainan tersebut didapati mempunyai elemen elemen yang turut sama ada pada aktiviti perjudian. 4 Permainan yang dilaporkan itu adalah Dota 2, FIFA 18, PUBG, dan Rocket League.

Sistem kotak tikam yang digunakan permainan ini didapati terlalu mirip dengan elemen perjudian dan pembangun diarahkan untuk membuang elemen elemen ini atau bersiap sedia untuk didenda atau diharamkan penjualannya di negara tersebut.

Pihak pembangun diberi masa 8 minggu bagi mengubah sistem kotak tikam mereka agar menurut undang undang negara tersebut. Kajian yang dilakukan oleh Lembaga Permainan Belanda mendapati bahawa pemain terutamanya dari golongan belia adalah terdedah dengan elemen perjudian dan sistem kotak tikam ini mampu menyebabkan mereka ketagihan.

Baca Juga :   Planet Odd Mara Ke Final Dreamleague Musim Ke-7 Selepas Tewaskan Secret Sekali Lagi

Kerajaan Belanda bukanlah yang pertama memandang serius pada sistem kotak tikam ini. Beberapa negara lain seperti Sweden dan Belgium telah atau mulai melakukan kajian masing masing bagi melihat dan mengkaji perkara ini dengan lebih mendalam lagi. Bagi negara Malaysia pula, tiada sebarang kajian dilakukan berkaitan sistem kotak tikam pada ketika ini.

Memandangkan industri permainan negara ini masih lagi boleh dikatakan pada peringkat awal dan sedang membangun, mungkin permasalahan ini masih lagi belum dianggap sebagai serius walaupun negara kita mempunyai undang undang perjudian yang ketat. Namun begitu, perkembangan industri permainan mudah alih yang amat pantas membangun kebelakangan ini agak merisaukan.

Telefon pintar telah memberikan akses mudah kepada para belia negara ini untuk terdedah kepada sistem kotak tikam. Kerajaan harus memandang serius akan perkara ini sebelum ia menjadi lebih parah lagi.

Sumber : NOS / VG24/7

Leave a Comment

%d bloggers like this: